Enam beradik tak sekolah: Tiga tiada pengenalan diri hadir ke JPN bersama ibu

Enam beradik tak sekolah: Tiga tiada pengenalan diri hadir ke JPN bersama ibu

hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Tiga daripada enam kanak-kanak yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri hadir ke Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), hari ini, bagi mengemukakan permohonan daftar lewat kelahiran.

Mereka hadir bersama ibu, Derce Jush, 37, dua penganjur dan saksi pada kira-kira jam 9.26 pagi bagi menjalani proses pendaftaran ke dalam sistem, semakan dokumen serta sesi temu duga.

Harian Metro sebelum ini mendedahkan secara eksklusif mengenai enam kanak-kanak berusia antara enam hingga 16 tahun yang tidak bersekolah dan hanya tinggal bersama ibu mereka kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

Kehadiran mereka adalah bagi tujuan permohonan Daftar Lewat Kelahiran yang membabitkan proses pendaftaran ke dalam sistem, semakan dokumen serta sesi temu duga membabitkan ketiga-tiga kanak-kanak berkenaan, ibu mereka, saksi dan penganjur.

JPN berkata, kehadiran pemohon adalah bagi mengemukakan borang permohonan Daftar Lewat Kelahiran bagi tiga beradik terbabit, selain menyerahkan dokumen sokongan serta akuan sumpah yang lengkap untuk tindakan lanjut.

“Hasil semakan mendapati borang permohonan yang dikemukakan adalah lengkap, namun Buku Imunisasi Kanak-Kanak masih belum disertakan.

“Pihak JPN telah meminta pemohon mengemukakan dokumen berkenaan melalui emel,” katanya dalam satu kenyataan kepada Harian Metro di sini, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, tempoh pemprosesan bagi permohonan daftar lewat kelahiran untuk kanak-kanak berusia lima tahun ke atas adalah antara tiga hingga enam bulan.

Tambahnya, permohonan berkenaan masih belum dapat diproses sepenuhnya kerana JPN perlu mendapatkan pengesahan semula rekod kelahiran daripada pihak hospital memandangkan umur kanak-kanak berkenaan telah melebihi lima tahun, selaras dengan tatacara permohonan daftar lewat kelahiran yang berkuat kuasa.

“Meskipun pemohon telah dimaklumkan dan dibantu, masih terdapat dokumen serta maklumat yang diperlukan tidak dibawa semasa permohonan dibuat. Ini antara faktor yang menyebabkan proses permohonan tertangguh dan mengambil masa yang lebih panjang.

“Adalah menjadi tanggungjawab pemohon untuk memastikan semua dokumen yang diperlukan lengkap. Permohonan daftar lewat kelahiran adalah proses untuk mendapatkan sijil kelahiran, bukannya proses mendapatkan taraf kewarganegaraan,” katanya.

Laporan Harian Metro sebelum ini mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk JPN, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Pejabat Parlimen Hulu Langat dan Lembaga Zakat Selangor yang tampil menjalankan siasatan terperinci terhadap keluarga berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top