am@hmetro.com.my
Kluang: Syawal ini lebih bermakna buat enam beranak yang hidup dalam bangsal buruk apabila mereka dipindahkan ke rumah sewa baru di Kampung Baru, di sini, hasil usaha kumpulan komuniti Kluang Bahagia.
Penggerak kumpulan itu, Suriha Gani berkata, pihaknya bersyukur kerana berjaya mengumpulkan kira-kira RM4,000 wang tunai untuk tujuan itu.
Katanya, Pasaraya Econsave Cash and Carry dan Persatuan Komuniti Satu Hati Kluang tampil menaja barangan kelengkapan rumah bernilai RM2,500 bagi membolehkan keluarga itu hidup dengan selesa.
“Ini kali pertama mereka dapat beraya di rumah sewa baru selepas tujuh tahun hidup daif di dalam bangsal buruk di Kampung Tengah.
“Saya berterima kasih dengan semua pihak kerana bersusah payah membantu keluarga ini,” katanya.
Sementara itu, ketua keluarga daif berkenaan, Ibrahim Yong Abdullah, 50, berkata, dia terharu dan berterima kasih kepada semua pihak termasuk orang persendirian, pemimpin setempat, syarikat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan jabatan kerajaan kerana membantunya sekeluarga.
“Anak-anak tak sabar nak beraya di rumah baru malah saya nampak mereka lebih gembira dapat pindah ke sini,” katanya.
Nasib keluarga itu turut perhatian kerajaan negeri apabila Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, permohonan sijil lahir buat dua anak Orang Asli berkenaan sudah diambil tindakan.
“Permohonan sijil lahir anak-anak ini diambil tindakan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kluang ke JPN Johor dan menunggu kelulusan panel.
“Saya masih tunggu maklum balas lengkap daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) termasuk berkenaan bantuan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan persekolahan anak-anak mereka. InsyaAllah saya akan bantu,” katanya.
Semalam, Harian Metro melaporkan masa depan dua anak Ibrahim Yong tidak menentu selepas permohonan daftar lewat kelahiran belum diluluskan hingga kini.
Akibatnya, Nurul Ain, 10, dan adiknya, Abdul Malik, 8, tidak boleh menikmati kemudahan sebagai warganegara seperti akses pendidikan dan kesihatan awam.
© New Straits Times Press (M) Bhd



