Enam daerah diisytihar kawasan bencana di Sabah

Enam daerah diisytihar kawasan bencana di Sabah

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Mangsa bencana banjir, kebakaran dan tanah runtuh di Sabah meningkat kepada 2,533 mangsa, dengan enam daerah diisytiharkan sebagai kawasan bencana oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).

Laporan Situasi Bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berkata, banjir paling parah dengan keseluruhan mangsa hari ini meningkat kepada 2,452 mangsa daripada 652 keluarga yang ditempatkan di 18 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Katanya, daerah Penampang mencatat wilayah yang paling terkesan dengan 910 mangsa, manakala Membakut seramai 611 mangsa dan Putatan 456 mangsa.

NADMA menyatakan, trend bencana banjir secara umum menunjukkan peningkatan di sebahagian besar daerah, kecuali Membakut yang situasinya tidak berubah.

“Selain banjir, bencana kebakaran berskala besar di Tawau menyebabkan 59 mangsa daripada 11 keluarga terpaksa dipindahkan dan situasinya tetap stabil. Di Papar, bencana tanah runtuh berlaku terhadap lima keluarga membabitkan 21 mangsa.

“Secara keseluruhan, jumlah mangsa bencana di Sabah mencapai 2,533 orang daripada 668 keluarga, dengan 20 Pusat Pemindahan Sementara diaktifkan,” katanya.

NADMA berkata, enam daerah yang diisytiharkan sebagai kawasan bencana oleh JPBD adalah Beaufort (banjir), Penampang (banjir, tanah runtuh), Tawau (kebakaran), Papar (banjir, tanah runtuh), Membakut (banjir) dan Putatan (banjir).

Kata agensi itu, berdasarkan laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM), 13 kematian direkodkan di Sabah setakat ini akibat kejadian tanah runtuh, iaitu tujuh di Kota Kinabalu (semalam), lima di Papar (semalam) dan satu di Penampang (kelmarin).

Tambahnya, situasi cuaca melalui imej radar Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mendapati cuaca adalah baik di Sabah setakat ini, namun sehingga jam 10 pagi tadi status Sungai Moyog di Penampang berada pada aras amaran, manakala Sungai Padas di Keningau pula pada aras waspada, dengan kedua-duanya menunjukkan trend menurun.

“Semalam, tiga stesen meteorologi yang mencatatkan jumlah hujan harian tertinggi adalah Beaufort (127.4 mm); Kota Kinabalu (122.8 mm) dan Sandakan (49.4 mm).

“Negara kini berada di penghujung Monsun Barat Daya (MBD) yang bermula pada 10 Mei lalu dan keadaan angin yang bertiup secara konsisten dari arah barat daya ke rantau negara mulai melemah, sekali gus menggalakkan pembentukan awan konvektif.

“Penumpuan angin dijangka berlanjutan di timur Sabah sehingga Khamis, seterusnya berpotensi menghasilkan ribut petir berserta hujan lebat dalam jangka masa yang lebih panjang,” katanya.

NADMA juga menyatakan, berdasarkan rekod tanah runtuh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sehingga hari ini, sebanyak lapan cerun kritikal dikenal pasti berisiko dilanda banjir iaitu di Country Height Apartment, Kg Madsiang, Kg Sugud, Kg Timpangoh, Kg Keanapan, Kg Dimbata dan Bukit Kulinting di Daerah Penampang serta Kg Limbahau di Daerah Papar.

“Antara cerun kritikal yang berlaku tanah runtuh termasuk di Country Height Apartment dan Kg Madsiang, Penampang,” katanya yang menjelaskan tindakan penyiasatan sudah dijalankan dengan cadangan pengosongan kediaman di Country Height Apartment Penampang, Kg Sarapung (Penampang) serta Kg Kopungit (Kota Kinabalu) dan kawasan lain yang berisiko.

Kata NADMA, pihaknya selaku urus setia kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) akan sentiasa memastikan semua agensi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana di semua peringkat.

“Sejumlah 652 anggota dari pelbagai agensi digerakkan iaitu PDRM (366 anggota), Angkatan Pertahanan Awam (160 anggota), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (55 anggota), Angkatan Tentera Malaysia (35 anggota) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (36 anggota),” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top