Enam individu ditahan, disyaki seludup diesel

Enam individu ditahan, disyaki seludup diesel

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lima lelaki warga Thailand antara enam individu yang ditahan selepas disyaki terbabit kegiatan penyeludupan diesel dalam serbuan di sebuah premis di Kubang Pasu, Kedah, hari ini.

Serbuan kira-kira 7.30 pagi yang dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menemui bahan api itu dan pelbagai kenderaan dipercayai digunakan untuk aktiviti berkenaan yang keseluruhannya bernilai RM1.42 juta.

Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, seramai tujuh pegawai dan anggota Unit Risikan Marin PPM Wilayan Satu dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kedah melaksanakan Op Intra ke atas sebuah premis berdasarkan risikan serta maklumat diterima.

“Hasil serbuan, pasukan menahan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun yang mengaku sebagai penjaga premis dan lima lelaki warga Thailand.

“Pemeriksaan dijalankan menemui tujuh tangki berisi 107,000 liter minyak diesel dianggarkan bernilai RM210,000; 122,500 minyak diesel dianggarkan bernilai RM389,550; tiga mesin pam minyak dan lima lori treler bernombor pendaftaran Thailand,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rusley berkata, kesemua minyak dan barangan berkenaan yang bernilai anggaran RM1.42 juta dirampas untuk siasatan mengikut Seksyen 22 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Katanya, tangkapan dan barangan kemudian diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah untuk tindakan lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top