am@hmetro.com.my
Kuala Berang: Ketika kebanyakan penduduk di daerah Hulu Terengganu sudah menikmati bekalan elektrik sejak berpuluh tahun lalu, Enam keluarga di Kampung Jerlang, Ajil, di sini, terpaksa bergantung kepada generator sejak lebih 30 tahun lalu.
Ketua isi rumah di kampung berkenaan perlu membelanjakan kira-kira RM300 sebulan bagi membeli bahan bakar untuk mengoperasikan generator yang menjadi satu-satunya sumber tenaga mereka.
Seorang penduduk, Mizi Mat Rashid, 46, berkata generator digunakan selama lima jam setiap malam, bermula jam 7 malam hingga 11 malam, bagi membolehkan anak-anak mengulang kaji pelajaran dan mengecas telefon.
“Kami pernah memohon kemudahan elektrik sebelum ini, namun permohonan tidak diluluskan atas alasan tiada tiang elektrik untuk sambungan ke enam rumah didiami 30 ahli keluarga.
“Kami bergantung kepada generator semata-mata untuk mengecas telefon dan memberi kemudahan kepada anak mengulang kaji pelajaran,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Suri rumah, Sabariah Mohd Sidek, 41, berkata, penduduk berharap pihak berkaitan dapat mempertimbangkan semula permohonan bekalan elektrik kerana kos bahan api semakin membebankan.
Katanya, penduduk pernah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan kemudahan asas itu, tetapi tidak diberi pertimbangan berikutan kos tinggi untuk pemasangan tiang.
“Kami difahamkan, kerajaan bercadang untuk melaksanakan projek pembinaan jalan alternatif di kampung berkenaan.
“Kami mengharapkan supaya pertimbangan penduduk untuk mendapatkan bekalan elektrik 24 jam dapat diberi pertimbangan selepas kerja pembinaan jalan alternatif siap dilakukan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Urusetia Dewan Undangan Negeri (KUD) Ajil, Tengku Mahari Tengku Chik, mengesahkan pihaknya sudah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk mendapatkan peruntukan menyelesaikan masalah itu.
Katanya, punca utama menyebabkan enam keluarga yang tinggal di kampung itu gagal mendapatkan kemudahan asas itu disebabkan kos pemasangan tiang elektrik yang tinggi.
“Kita berharap kerajaan dapat menyelesaikan masalah bekalan elektrik dihadapi penduduk selepas jalan alternatif yang akan dibina bagi menghubungkan beberapa kawasan di kampung itu siap dibina,” katanya.
Sementara itu, tinjauan dilakukan mendapati generator hanya digunakan untuk membekalkan elektrik pada sebelah malam iaitu bermula dari jam 7 malam hingga 11 malam.
Tinjauan turut mendapati jarak enam rumah didiami 30 ahli keluarga yang belum mendapat kemudahan asas itu dari kawasan perumahan lain hanya kira-kira 600 meter.
© New Straits Times Press (M) Bhd




