
Petugas penyelamat dan anggota polis memeriksa lokasi kejadian selepas insiden tembakan di Pasar Or Tor Kor, Bangkok pada Isnin. Foto AFP
BANGKOK – Enam individu termasuk empat pengawal keselamatan maut dalam insiden tembakan pada tengah hari Isnin berhampiran Pasar Hujung Minggu Chatuchak di sini.
Serangan berlaku kira-kira 12.30 tengah hari (waktu tempatan) di Pasar Makanan Segar Or Tor Kor yang terkenal, apabila suspek berpakaian baju-T hitam, seluar pendek ala tentera dan membawa beg galas dipercayai melepaskan tembakan menggunakan sepucuk pistol.
Ketua Polis Diraja Thailand, Jen Pol Kitrat Phanphet yang mengesahkan kejadian itu berkata, suspek merupakan seorang lelaki dan telah menembak mati diri sendiri di lokasi kejadian.
“Polis sedang mengenal pasti identiti suspek dan menyiasat motif serangan ini,” katanya dalam kenyataan ringkas pada Isnin.
Kitrat turut mengarahkan Biro Polis Metropolitan agar segera menjalankan siasatan menyeluruh, mengumpul seberapa banyak bukti dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan menyelesaikan kes itu dengan segera.
Pusat Perubatan Kecemasan Bangkok, atau lebih dikenali sebagai Pusat Erawan, dalam kenyataan turut mengesahkan bahawa mangsa yang terkorban terdiri daripada empat pengawal keselamatan, seorang wanita dan suspek sendiri.
“Dua wanita turut cedera dan telah dihantar ke Hospital Phyathai Phahol oleh pasukan sukarelawan,” menurut kenyataan pusat itu. – Bernama