Eindhoven: Arsenal membelasah PSV Eindhoven 7-1 di tempat lawan pada perlawanan pertama pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah (UCL), awal pagi tadi selepas menjaringkan tiga gol dalam tempoh 13 minit pada babak pertama sebelum menambah empat gol lagi selepas rehat.
Jurrien Timber membuka jaringan pada minit ke-18 diikuti rembatan pemain remaja, Ethan Nwaneri sebelum Mikel Merino menambah gol ketiga pada minit ke-31.
Juara Belanda itu merapatkan jurang menerusi penalti Noa Lang sebelum rehat, menjadikan kedudukan 1-3 pada separuh masa pertama.
Namun, Arsenal mengukuhkan dominasi mereka dengan dua gol dalam tempoh tiga minit pertama selepas rehat, hasil jaringan kapten, Martin Odegaard dan Leandro Trossard.
Odegaard memperoleh gol keduanya pada minit ke-73 sebelum pemain gantian, Riccardo Calafiori, menjaringkan gol ketujuh lima minit sebelum tamat untuk melengkapkan pesta gol di Philips Stadion.
Kemenangan itu adalah kemenangan terbesar Arsenal di tempat lawan dalam pertandingan kelab Eropah dan meletakkan mereka dalam kedudukan hampir pasti untuk mara ke suku akhir untuk berdepan pemenang antara Atletico Madrid atau Real Madrid.
Arsenal menguasai perlawanan sejak awal, walaupun tuan rumah sepatutnya mendahului pada minit ke-16 apabila hantaran silang Ivan Perisic ditepis keluar oleh penjaga gol, David Raya, tetapi Ismael Saibari gagal memanfaatkan peluang berikutan rembatan jarak dekatnya hanya menggegarkan palang gol.
Dua minit kemudian, gerakan bijak dan hantaran silang kaki kiri oleh pemain tengah Arsenal, Declan Rice membolehkan Timber melonjak lebih tinggi untuk menanduk masuk gol pertama dan memulakan pesta jaringan.
Serangan dari sebelah kiri Arsenal menghasilkan gol kedua, apabila Myles Lewis-Skelly melakukan hantaran mendatar yang disudahkan oleh Nwaneri dari jarak dekat.
Lewis-Skelly bernasib baik tidak dibuang padang selepas terlepas daripada kad kuning kedua akibat terjahan cuai yang mencetuskan protes hebat daripada pemain dan pegawai PSV.
Gol Merino pula berpunca daripada ketekunan Timber, yang menyusup masuk ke dalam kotak penalti PSV yang membolehkan Merino menyambar peluang untuk meletakkan bola ke penjuru gawang lawan.
Arsenal memberikan penalti tiga minit sebelum rehat apabila lengan Thomas Partey terkena leher kapten PSV, Luuk de Jong dan Lang tidak mensia-siakan peluang untuk menyempurnakan sepakan itu.
Namun, sebarang harapan PSV untuk bangkit selepas rehat musnah apabila penjaga gol, Walter Benitez menghadiahkan gol kepada Odegaard dengan menampan hantaran silang Nwaneri terus ke arah pemain Norway itu.
Kurang daripada seminit kemudian, Trossard menambah gol kelima dengan satu sepakan lambung melepasi Benitez.
Odegaard meledak gol keenam dan turut mencipta peluang sempurna untuk Calafiori menjaringkan gol ketujuh selepas satu larian deras pada malam yang menyaksikan segala-galanya berjalan lancar untuk Arsenal.
© New Straits Times Press (M) Bhd