
Enam pemain (depan, duduk) bersama pasukan THQ dan wakil MSN,ISN dan JBS bergambar kenangan bersama Husyin (tengah, berdiri).
TEMERLOH – Enam pemain terpilih mewakili Pahang untuk berentap dalam Liga Jelajah Juara Sukan Elektronik (E-Sport) di Majlis Sukan Negara (MSN) pada 24 hingga 30 Disember ini.
Pemain berusia 16 tahun terdiri daripada, Nik Mohamad Faris Nik Mohd Sanusi, Ahmad Fasih Wafi Mohd Ridzuan, Ariif Irfan Rasdi, Muhammad Nur Shah Irfan Shahrul Nizam, Muhammad Irshraf Mikael Muhmaad Irsyad dan seorang berusia 15 tahun, Muhammad Ashraf Aqmal Muhamad Roshdi.
Kesemua mereka terpilih selepas 30 peserta termasuk jurulatih terlibat dalam bengkel dua hari berakhir pada Selasa sempena Jelajah Juara E-Sport Malaysia 2023 yang berlangsung di Mini Studio E-Sport Pahang dekat Lanchang di sini.
Mereka turut berpeluang menimba pengalaman selain meraih ilmu baharu dengan sentuhan pemain profesional daripada Team HaqEsports Club (THQ) serta kepakaran yang dibawa oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).