bhnews@bh.com.my
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini memaklumkan enam kertas pencalonan ditolak pada penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hari ini.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata kertas pencalonan yang ditolak itu membabitkan empat kerusi Parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Tiada kerusi yang menang tanpa bertanding pada penamaan calon PRU15 hari ini,” katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 222 pusat penamaan calon dibuka dari jam 9 hingga 10 pagi bagi calon mengemukakan pencalonan.
“Parlimen Batu di Wilayah Persekutuan, merekodkan jumlah pertandingan tertinggi iaitu sebanyak 10 penjuru, manakala DUN Chenderiang di Perak, membabitkan tujuh penjuru.
“Pilihan Raya Kecil DUN Bugaya juga membabitkan pertandingan tujuh penjuru,” katanya.
Beliau berkata maklumat terperinci berhubung penamaan calon hari ini akan dikeluarkan SPR pada petang ini.
Katanya, prosedur operasi standard (SOP) bagi perjalanan kempen dan mengundi termasuk bagi kes COVID-19 pula akan dikeluarkan kemudian.
© New Straits Times Press (M) Bhd