Enam tahun penuh cabaran, draf penulisan berulang kali

Enam tahun penuh cabaran, draf penulisan berulang kali

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Selepas kejayaan filem Prebet Sapu yang terpilih mewakili Malaysia bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik pada Anugerah Akademi Ke-94 di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 2022, pengarah, Muzzamer Rahman kembali mencuri tumpuan melalui naskhah terbaharunya, Kacau.

Bukan sekadar filem seram biasa, projek ini ialah naskhah adaptasi daripada novel seram popular karya Ariff Adly yang mempunyai pengikut tegarnya yang tersendiri.

Bagi Muzzamer, perjalanan membawa naskhah ini ke layar perak bukanlah proses yang singkat, sebaliknya sebuah penantian selama enam tahun yang penuh dengan cabaran dan draf penulisan yang berulang kali.

Mengulas mengenai pemilihan naskhah itu, Muzzamer mendedahkan minatnya terhadap novel Kacau sudah bermula sejak 2019 selepas disyorkan oleh penerbit buku, Amir Muhammad.

“Waktu itu ada produksi berminat nak buat siri, tapi projek tak jalan sebab PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Selepas Prebet Sapu, saya rasa filem kedua saya harus lebih komersial dan ‘mass’.

“Memandangkan saya pernah buat filem pendek dan telefilem seram sebelum ini, saya teringat balik novel ini dan mula membangunkannya pada penghujung 2022,” katanya.

Bagaimanapun, mengadaptasi sebuah novel yang panjang ke dalam durasi filem yang terhad adalah tugas yang sangat mencabar.

Muzzamer mengakui hanya mengekalkan kira-kira 40 peratus persamaan daripada novel asal demi kesesuaian medium visual.

“Ini proses paling sukar. Dari 2019 hingga 2025, saya tulis empat hingga lima draf untuk pendekkan cerita. Nasib baik rakan penulis, Nazim Masnawi bantu tulis ‘story treatment’ sehinggalah saya dapat hasil yang dimahukan.

“Kita kena sedar novel dan filem adalah medium berbeza, teks dan visual ada keseronokan yang tak sama,” katanya.

Menariknya, filem Kacau tidak bergantung kepada satu atau dua watak utama sahaja, sebaliknya ia menampilkan konsep ‘ensemble’ yang membariskan tujuh watak rakan yang melalui perjalanan hidup yang sama.

Melalui sesi uji bakat terbuka, Muzzamer menetapkan kriteria khusus di mana semua pelakon mestilah berusia di bawah 30 tahun.

Proses pencarian pelakon yang mempunyai usia hampir sama, namun perwatakan berbeza ini memakan masa sehingga empat bulan.

Demi membina keserasian (chemistry), kesemua pelakon diwajibkan menyertai kelas lakonan selama dua minggu di bawah bimbingan Abang Wan dari Revolution Stage.

“Pelakon muda ini sangat bertenaga. Selepas kelas formal, mereka ambil inisiatif sendiri keluar bersama ke pusat beli-belah dan menonton wayang untuk merapatkan hubungan.

“Malah penulis asal, Ariff Adly sendiri kagum bila tengok babak ‘bilik dipenuhi rambut’ yang sangat ikonik dalam novel diterjemahkan ke bentuk visual,” katanya.

Dalam era teknologi digital yang pesat, Muzzamer memilih jalan yang lebih ‘organik’ dengan meminimumkan penggunaan imej janaan komputer (CGI).

Sebaliknya, dia lebih mementingkan penggunaan kesan khas praktikal (practical effects) bagi mendapatkan impak seram lebih realistik.

Muzzamer menganggarkan penggunaan VFX hanya sekitar lima hingga 10 peratus sahaja dalam keseluruhan filem.

“Kami mahu ia nampak ‘asli’ macam filem seram tahun 80-an dan 90-an. Walaupun satu ‘shot’ boleh ambil masa satu jam untuk disiapkan, hasilnya lebih memuaskan hati berbanding menunggu VFX berbulan-bulan yang kadang-kadang tak capai apa yang kita nak,” katanya.

Bercerita mengenai pengalaman di set penggambaran yang membabitkan banyak lokasi terbiar, Muzzamer bersyukur kerana tiada sebarang kejadian mistik atau gangguan buruk berlaku sepanjang peringkat awal penggambaran.

Sebagai langkah berjaga-jaga, pasukan produksi sentiasa memulakan kerja dengan bacaan doa selamat dan turut menyediakan kehadiran ustaz di set.

“Bukan setakat gangguan mistik, kami juga kena berwaspada dengan ancaman haiwan liar sebab lokasinya di tempat terbiar.

“Apa yang penting, persiapan rapi selama empat bulan dan kerjasama kru yang lama membuatkan proses penggambaran berjalan lancar tanpa gangguan besar,” katanya.

Kacau dibintangi barisan pelakon antaranya Idan Aedan, Fimie Don, Khayrisyah Kemal, Sadiq M Jamil, Nurel Bahrin, Arfie Shah dan Evanatie Sannie.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top