
Sumber gambar daripada AFP/Yonhap
BUSAN – Enam orang terbunuh dan 25 orang cedera susulan kebakaran yang berlaku di tapak pembinaan sebuah hotel di bandar pelabuhan Busan, Korea Selatan pada Jumaat.
Menurut laporan portal berita, Channel News Asia (CNA), pihak berkuasa berkata, kebakaran tersebut dilaporkan bermula jam 11 pagi waktu tempatan.
Seorang pegawai jabatan kesihatan awam memaklumkan, seramai 25 orang cedera daripada kejadian itu dan kebanyakkannya adalah kecederaan kecil yang disebabkan oleh terhidup bau asap.
Ketua Balai Bomba Gijang, Busan, Hong Mun-sik berkata, kebakaran berkenaan terjadi di aras satu bangunan di mana pekerja menyimpan bahan penebat.
“Api sudah mencapai puncaknya ketika kami tiba dan asap hitam tebal menutupi tempat kejadian.
“Terdapat banyak bahan mudah terbakar yang menghalangi pintu masuk.
“Punca dan lokasi sebenar kebakaran perlu disiasat dengan teliti,” katanya pada Jumaat.
Sementara itu, Pemangku Presiden Korea Selatan, Choi Sang-mok mengarahkan pegawainya untuk menggerakkan sepenuhnya semua kakitangan dan peralatan yang ada untuk memadamkan kebakaran.
“Setiap usaha mesti dilakukan untuk mengelakkan kemalangan jiwa semasa operasi mencari dan menyelamat, di samping memastikan keselamatan anggota bomba,” ujarnya.
Kebakaran berjaya dipadamkan sekitar jam 1.30 petang waktu tempatan pada Jumaat.