am@hmetro.com.my
Shah Alam: Polis sudah merakam keterangan enam individu bagi membantu siasatan kes serangan terhadap anak lelaki bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, di sini, semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, Rafizi dan isteri adalah antara enam indvidu yang diambil keterangan setakat ini
“Setakat ini, enam rakaman percakapan saksi telah diambil melibatkan pengadu yang membuat laporan termasuk Datuk Seri Rafizi dan isteri, dan juga beberapa individu lain yang berkaitan,” katanya dalam sidang media berhubung kes terbabit di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, petang tadi.
Pada masa sama, Shazeli berkata, polis meminta Rafizi membuat laporan polis berhubung mesej berbaur ugutan yang diterima oleh isterinya yang berbunyi ‘diam, jika teruskan, AIDS,’ kira-kira jam 1.45 tengah hari yang turut disertakan emoji picagari.
“Setakat ini belum ada lagi laporan dibuat. Mungkin dengan ada laporan seterusnya, kita berharap pihak Datuk Rafizi boleh membuat laporan mengenainya untuk polis menjalankan siasatan lanjut,” katanya.
Shazeli juga memaklumkan pihaknya masih mengesan kedua-dua suspek yang dipercayai menunggang sebuah motosikal berdasarkan beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
“Alhamdulillah, siasatan awal melalui CCTV ada memberi sinar dan bantuan kepada pihak polis dalam menjalankan siasatan. Ada banyak CCTV di lokasi berkenaan.
“Siasatan mendapati suspek melindungi identiti sepenuhnya dan bertopi keledar dan berpakaian gelap. Jadi, tidak dapat ditentukan identiti dan belum dapat ditentukan suspek melarikan diri ke arah mana, masih dalam siasatan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan anak dan isteri Rafizi baru memasuki kereta untuk beredar dari lokasi kejadian sebelum anaknya tiba-tiba ditarik serta dicucuk dengan jarum suntikan.
Semakan awal mendapati dua lelaki menaiki motosikal mengekori kenderaan mereka di mana kedua-dua suspek berpakaian serba hitam dan bertopi keledar berpenutup muka penuh, dipercayai menunggu sebelum menyerang.
© New Straits Times Press (M) Bhd