Enggan kahwin pilihan bapa, remaja 17 tahun dibunuh

Enggan kahwin pilihan bapa, remaja 17 tahun dibunuh
Mangsa dibunuh bapanya ketika tidur. Foto hiasan

Mangsa dibunuh bapanya ketika tidur. Foto hiasan

MAHARASHTRA – Seorang lelaki berusia 45 tahun di daerah Hingoli didakwa membunuh anak perempuannya selepas gadis itu menolak untuk berkahwin dengan anak saudara lelaki berkenaan.

Lelaki tersebut membunuh anaknya yang berusia 17 tahun dengan menekup muka mangsa menggunakan bantal ketika tidur sebelum ditemui mati pada awal pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Hingoli, Shrikrishna Kokate berkata, kejadian itu terbongkar apabila ibu mangsa dan dua adiknya masing-masing berusia 12 serta lapan tahun bangun dari tidur.

Menurut Kokate, hasil siasatan awal mendapati suspek yang juga seorang pemandu, Syed Shaker, merancang untuk mengahwinkan anak perempuan sulungnya dengan anak saudaranya.

“Namun, gadis itu membantah rancangan tersebut. Pada awal pagi Rabu, lelaki itu didakwa membunuh anak perempuannya dengan menekup bantal ke wajahnya ketika sedang tidur kerana bimbang stigma sosial sekiranya perkahwinan itu dibatalkan,” katanya.

Tambah Kokate, siasatan polis mendapati penolakan remaja itu untuk berkahwin dengan lelaki pilihan ayahnya menyebabkan pertengkaran berulang kali di rumah sejak tiga hari lalu.

“Pada malam Khamis, suspek didakwa memberikan pil tidur kepada isterinya yang menghidap diabetes dan darah tinggi bersama ubat-ubatan harian bagi memastikan dia terus lena.

“Dia kemudian masuk ke bilik anak perempuannya dan menekup muka mangsa dengan bantal ketika tidur,” ujarnya.

Kokate berkata, kedua-dua anak lelakinya juga berada di rumah dan sedang tidur ketika kejadian berlaku.

“Dihimpit rasa bersalah dan kesedihan, lelaki itu menamatkan nyawanya sendiri,” katanya.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke hospital kerajaan di Hingoli untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga bagi urusan pengebumian.

Selepas aduan dibuat oleh abang mangsa, Polis Bandar Hingoli membuka kertas siasatan dan mendaftarkan kes bunuh terhadap Shaker di bawah seksyen berkaitan dalam Bharatiya Nyaya Sanhita (BNS).

Scroll to Top