England atasi Andorra, kekalkan rekod sempurna

England atasi Andorra, kekalkan rekod sempurna

ENGLAND terus mempamerkan permulaan sempurna dalam kempen kelayakan Piala Dunia apabila mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas pasukan kerdil Andorra di Stadium RCDE, Barcelona.

Jaringan tunggal kapten, Harry Kane minit ke-50 pada babak kedua menyelamatkan maruah skuad The Three Lions kendalian Thomas Tuchel dalam pertembungan yang berlangsung hambar di Sepanyol itu.

Di sebalik deretan nama besar Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam skuad England, hanya gol ‘scramble’ Kane sejurus selepas rehat menjadi pemisah antara mereka dengan pasukan di ranking ke-173 dunia itu.

Seperti dijangka, England mendominasi penguasaan bola, namun kualiti permainan Three Lions jelas di bawah paras jangkaan.

Malah hanya bintang sayap Chelsea, Noni Madueke yang dilihat menyerlah dengan beberapa larian berbahaya dalam perlawanan yang boleh dianggap sebagai persembahan yang wajar dilupakan.

Bagaimanapun, England berjaya meraih kemenangan dan kekal selesa di puncak Kumpulan K dengan tiga kemenangan daripada tiga perlawanan.

“Ini bukan persembahan yang hebat dan saya rasa tidak ramai yang akan mengingati perlawanan ini…

“Padang agak kering, sama seperti di Piala Dunia tahun depan, jadi kami akan menganalisisnya. Kami tidak cukup baik dalam penguasaan bola tetapi kami dapat tiga mata dan teruskan,” kata Kane selepas meledak gol ke-450 dalam kariernya untuk kelab dan negara.

Sebagai rekod, dalam enam pertemuan terdahulu menentang Andorra, England telah menjaringkan 25 gol tanpa bolos.

Walaupun selepas mendahului, tiada tanda-tanda gol akan terhasil dengan mudah.

Andorra malah mencipta beberapa peluang untuk memberi ‘malu’ kepada pasukan pelawat, dengan percubaan untuk menyamakan kedudukan lewat daripada pemain gantian Guillaume Lopez diselamatkan Ezri Konsa.

Sejak wisel permulaan, corak serangan England dilihat perlahan dan hanya Madueke yang berjaya menyerlahkan reputasinya, terutamanya sebelum rehat dengan beberapa larian yang mengancam.

Beliau menguji penjaga gol Andorra, Iker Alvarez dengan percubaan dan mencipta beberapa peluang lain, termasuk untuk Jude Bellingham yang seperti kebanyakan pemain England, kelihatan lesu dan kurang bertenaga selepas musim yang panjang.

Kane terlepas peluang terbaik England pada separuh masa pertama, apabila rembatannya dari jarak dekat meliar selepas hantaran berbahaya Madueke yang ditolak dinafikan Curtis Jones.

Scroll to Top