England "hilang" penyokong di Rome

England "hilang" penyokong di Rome

LONDON: Penyokong-penyokong England dinasihatkan tidak pergi ke Rome untuk aksi suku akhir Euro 2020 bertemu Ukraine Sabtu ini kerana halangan COVID-19 akan menyebabkan mereka terlepas aksi berkenaan.

Kemenangan 2-0 ke atas Jerman di Wembley yang dipenuhi penyokong England membawa skuad kendalian Gareth Southgate ke suku akhir.

Namun peraturan di Itali bagi mengekang penularan COVID-19 memerlukan penyokong dari Britain dikuarantin lima hari dan akan terlepas untuk menyaksikan perlawanan.

Persatuan Bolasepak England diberikan 2,560 tiket, menyamai 16 peratus kapasiti 16,000 yang dibenarkan di Stadio Olimpico.

Tiket-tiket berkenaan – satu-satunya perlawanan England di luar Wembley – akan dijual kepada umum.

“Peminat England tidak akan dapat datang ke Itali untuk menyaksikan perlawanan menentang Ukraine di Olimpico pada 3 Julai.

“Mereka perlu dikuarantin lima hari, peraturan perlu dihormati. Kami tidak boleh mengambil risiko. Jika mereka bertolak hari ini, mereka tidak akan dapat menonton perlawanan,” kata pegawai kesihatan Itali, Andrea Costa. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top