England sudah bersedia, Tuchel puas hati persiapan sebelum Piala Dunia 2026

England sudah bersedia, Tuchel puas hati persiapan sebelum Piala Dunia 2026

Kansas City: Kapten England, Harry Kane, menyifatkan persiapan skuad The Three Lions menjelang Piala Dunia 2026 sebagai berada pada tahap terbaik ketika mereka tiba di kem latihan di Kansas City, Amerika Syarikat.

Skuad kendalian Thomas Tuchel itu tiba di bandar berkenaan pada Sabtu selepas menjalani kem latihan dan aksi persahabatan di Florida, dengan rekod dua kemenangan ke atas New Zealand dan Costa Rica.

England kini dianggap antara pasukan pilihan untuk menjulang trofi dunia selepas beberapa kempen terakhir mereka di pentas antarabangsa hampir membuahkan hasil.

Kane berkata, segala aspek persiapan termasuk latihan, pemulihan dan keserasian pemain berada pada tahap memuaskan.

“Kami menjalani persiapan yang sangat baik, cara kami bekerja, latihan dan juga perpaduan dalam pasukan,” katanya.

“Kami rasa semua berada pada tahap tertinggi dan kini kami bersedia untuk fasa sebenar kejohanan ini,” tambahnya.

Penyerang Bayern Munich itu turut mengakui suasana Piala Dunia mula dirasai apabila skuad England menetap di Kansas City untuk tempoh panjang sepanjang kejohanan.

England akan membuka kempen Kumpulan L menentang Croatia di Arlington, Texas, Rabu ini dalam aksi yang dijangka sengit.

Tuchel turut menyatakan keyakinan bahawa skuadnya sudah bersedia sepenuhnya selepas melalui tempoh persiapan di Amerika Syarikat.

“Kami sudah menyesuaikan diri dengan keadaan di sini. Pemain bekerja keras dan berada dalam keadaan baik,” katanya.

Selain Croatia, England turut diundi bersama Ghana dan Panama dalam kumpulan berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top