London: Pemain tengah Enzo Fernandez memberi jaminan kepada pengendali Liam Rosenior bahawa dia gembira bersama Chelsea walaupun kenyataannya sebelum ini mencetuskan spekulasi mengenai masa depannya.
Pemain antarabangsa Argentina itu sebelum ini menimbulkan tanda tanya apabila memberi bayangan mungkin tidak kekal di Stamford Bridge musim depan.
Ia susulan kekalahan 0-3 kepada Paris Saint-Germain yang menyaksikan Chelsea tersingkir di pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara (UCL) dengan agregat 2-8.
Fernandez, 25, masih mempunyai baki lima tahun kontrak selepas menyertai kelab itu pada 2023 dengan yuran rekod Britain bernilai £107 juta (RM640 juta).
Namun dia sebelum ini memberi bayangan kepada ESPN bahawa baki lapan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini serta kempen Piala FA mungkin menjadi penampilan terakhirnya bersama kelab London itu.
Bagaimanapun, Rosenior menegaskan dia tidak bimbang dengan komitmen pemain itu selepas mengadakan perbincangan panjang bersama Fernandez.
“Saya berbincang dengan Enzo pagi ini di pusat latihan, bukan sahaja mengenai kenyataan itu, tetapi juga masa depan serta keinginan kami untuk menang dalam baki perlawanan,” katanya.
Menurutnya, Fernandez menjelaskan dengan jelas bahawa dia gembira berada di Chelsea dan mahu terus membantu pasukan mencapai kemenangan.
“Dia juga menjelaskan berlaku salah tafsir dari segi terjemahan dan emosi. Dia komited sepenuhnya bersama kelab ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Rosenior berkata pihaknya sudah mengenal pasti individu yang membocorkan kesebelasan utama pasukan menjelang dua aksi menentang PSG.
“Kami tahu siapa. Ia bukan dilakukan dengan niat jahat, dan kami sudah menangani perkara itu,” katanya.
Beliau turut memaklumkan kecederaan buku lali dialami Trevoh Chalobah tidak seteruk dijangka, namun pemain itu mungkin terlepas aksi selama enam minggu.
Sementara itu, kecederaan hamstring kapten pasukan Reece James tidak serius, tetapi dia tetap akan terlepas aksi menentang Everton hujung minggu ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




