EON dan Sahabat Autofest 2025 tawar rebat hingga RM40,000

EON dan Sahabat Autofest 2025 tawar rebat hingga RM40,000

SHAH ALAM – Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON), anak syarikat DRB-HICOM Berhad, memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju ekosistem automotif pelbagai jenama di negara ini dengan penganjuran EON dan Sahabat Autofest 2025 yang berlangsung di EON Glenmarie, Shah Alam sehingga 10 Ogos ini.

Acara tahunan yang kini memasuki edisi kedua itu bukan sahaja mengetengahkan gabungan elemen automotif dan gaya hidup, malah menjadi platform pelancaran rasmi penjenamaan baharu EON yang lebih segar dan bersatu, sejajar transformasi syarikat sebagai rakan mobiliti moden.

Ketua Pegawai Eksekutif EON, Akkbar Danial berkata, EON dan Sahabat Autofest 2025 kali ini mencerminkan kekuatan ekosistem luas syarikat yang memudahkan pelanggan mendapatkan pelbagai jenama kenderaan di bawah satu bumbung.

“Berurusan dengan EON bukan hanya sekadar satu transaksi, tetapi permulaan kepada hubungan jangka panjang yang dibina atas kepercayaan berterusan, melangkaui pembelian kenderaan,” ujarnya.

Menurutnya, EON kini membawa slogan baharu “Semangat Memacu Aspirasi” yang menzahirkan iltizam berterusan dalam memberikan perkhidmatan bersemangat, inovatif serta mobiliti mudah diakses kepada pelanggan.

Ia selari dengan visi jenama “Menerajui mobiliti masa hadapan, dipacu dengan hati” sebagai komitmen kepada penyelesaian progresif yang berfokuskan pelanggan.

Usaha penjenamaan semula itu turut bertujuan menyatukan semua cawangan, perkhidmatan dan platform EON di seluruh negara di bawah satu jenama konsisten, sekali gus meningkatkan kepercayaan pelanggan dan menyokong sinergi operasi.

EON dan Sahabat Autofest 2025 yang menampilkan lapan zon aktiviti memberi tumpuan kepada pelbagai jenis kenderaan mengikut jenama, penyelesaian kewangan, perkhidmatan selepas jualan dan aktiviti gaya hidup mesra keluarga.

Pengunjung yang mendaftar awal berpeluang memenangi barangan edisi terhad termasuk koleksi model Hot Wheels Proton Saga Edisi Ulang Tahun ke-40.

Jenama yang terlibat antaranya Proton, smart, Mitsubishi, Honda, Isuzu, Audi, Volkswagen dan Daihatsu yang turut disokong oleh rakan strategik dalam bidang pembiayaan, insurans, teknologi mobiliti dan servis selepas jualan.

Pengunjung juga boleh mencuba pandu uji dan mendapat kelulusan pinjaman bank dalam tempoh 30 minit melalui platform pembiayaan digital EON, Tras.

Pelbagai promosi dan rebat eksklusif sehingga RM40,000 ditawarkan sepanjang acara berlangsung dan sah di semua cawangan EON di seluruh negara.

Untuk pertama kali, sistem bidaan langsung (live tender) bagi kenderaan terpakai yang telah disahkan turut diperkenalkan, membolehkan pelanggan membida secara dalam talian melalui proses digital yang telus sepenuhnya.

EON turut memperkenalkan zon kanak-kanak dan keluarga yang menyediakan aktiviti interaktif seperti hadiah baju-T reka sendiri, stesen unboxing Hot Wheels, dan ruang mesra ibu bapa.

Antara pengisian istimewa dijadualkan termasuk penampilan Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan dari audio siar Keluar Sekejap serta lagenda rali negara, Karamjit Singh atau Flying Sikh pada 9 Ogos, manakala konsert mini oleh Nolee dan Aisha Retno akan berlangsung pada petang 10 Ogos.

Sempena acara tersebut, EON turut melancarkan kad kredit kerjasama Muamalat EON Visa Infinite-i dan Muamalat EON Visa Platinum-i yang dibangunkan bersama Bank Muamalat Malaysia Berhad.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Akkbar Danial dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin.

Kad kredit patuh syariah ini ditawarkan sebagai satu lagi inisiatif memperkasa gaya hidup automotif pelanggan dengan pelbagai manfaat istimewa, antaranya ganjaran tambahan bagi penyelenggaraan kenderaan di pusat servis EON serta akses eksklusif jenama di bawah portfolio EON seperti Proton, Proton e.MAS, Audi, Mitsubishi, Volkswagen, Isuzu dan smart.

Pemegang kad juga berpeluang menikmati sehingga lima kali mata ganjaran EON semasa kempen khas, selain pelepasan yuran tahunan, pelan ansuran tanpa faedah, pilihan pindahan baki fleksibel, pulangan tunai perbelanjaan luar negara dan pembelian tanpa sentuh serta perlindungan takaful menyeluruh.

Kad ini turut memberi akses kepada diskaun khas, jemputan VIP dan promosi eksklusif produk serta perkhidmatan EON.

Bermula 1 September hingga 31 Disember 2025, kempen “Aktifkan dan Belanja Dengan Kad Kredit Kerjasama Muamalat EON Anda” akan dilaksanakan.

Seramai 300 pemohon baharu pertama yang mengaktifkan kad dan membelanjakan minimum RM50 dalam tempoh tersebut akan menerima 20,000 mata ganjaran Muamalat dan manfaat pulangan tunai.

Permohonan kad boleh dibuat di semua cawangan Bank Muamalat di seluruh negara. Maklumat lanjut boleh didapati di www.muamalat.com.my atau dengan menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Bank Muamalat di 03-2600 5500.

Scroll to Top