EON sasar jual 12,000 unit kereta tahun ini

EON sasar jual 12,000 unit kereta tahun ini

lizamridzuan@hmetro.com.my

Shah Alam: Edaran Otomobil Nasional (EON) menyasarkan jualan sebanyak 12,000 unit tahun ini menerusi jenama-jenama automotif edaran di bawah syarikat terdiri daripada Audi, Volkswagen, Mitsubishi, Isuzu smart, Proton dan Proton e.Mas serta Daihatsu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Akkbar Danial berkata setakat ini pihaknya berada pada landasan yang betul untuk mencapai sasaran dengan jumlah jualan mencecah kira-kira 6,000 unit, merangkumi pelbagai model yang berada di bawah jenama Kumpulan EON.

“Kami kekal optimis bahawa sasaran itu dapat dicapai menjelang akhir tahun, namun, seperti yang saya selalu tekankan, sekiranya kita hanya duduk dan menunggu jualan berlaku, ia tidak akan menjadi kenyataan.

“Dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif serta kekuatan dan keunikan yang dimiliki oleh EON sendiri, kami amat berharap untuk mencapai angka yang disasarkan,” katanya pada majlis pelancaran EON & Sahabat Autofest 2025.

Menurutnya, membuka cawangan atau bilik pameran fizikal semata-mata bukan lagi satu pendekatan yang efisien memandangkan kos operasi yang tinggi.

Katanya, menyedari hal ini, EON mengambil langkah lebih kreatif dengan memperluaskan inisiatif digital untuk menambah nilai kepada pengalaman pelanggan.

Antara usaha utama yang sudah dilaksanakan adalah membangunkan laman eon.com.my sebagai sebuah platform jualan yang membolehkan pelanggan membuat tempahan kenderaan, pembayaran fi serta tempahan servis secara dalam talian dan masa nyata.

Selain itu, EON juga bakal melancarkan satu lagi platform digital baharu dikenali sebagai Tras yang dijangka diperkenalkan pada bulan hadapan untuk menawarkan kemudahan kepada pelanggan bagi membuat permohonan pinjaman kenderaan secara dalam talian.

“Pendekatan ini bukan sahaja mempermudah proses pembelian, malah menyokong peralihan ke arah pendigitalan penuh dalam sektor automotif runcit,” katanya.

Menurutnya, dalam masa sama, EON mengekalkan kekuatan rangkaian fizikalnya dengan lebih 55 cawangan di seluruh Malaysia, termasuk operasi di bawah jenama AVIS.

“Walaupun fokus diberikan kepada penambahbaikan digital dan kecekapan operasi, tiada perancangan untuk mengurangkan bilangan cawangan sedia dan pihak pengurusan sedang menilai strategi terbaik bagi meningkatkan lagi prestasi jualan dan keberkesanan operasi di seluruh negara,” katanya.

EON & Sahabat Autofest 2025 adalah penganjuran kali kedua menggabungkan elemen automotif dan gaya hidup berlangsung hari ini sehingga hujung minggu di EON Glenmarie, Shah Alam.

Seramai 10,000 pengunjung dijangka hadir dengan 888 unit tempahan kenderaan dibuat sepanjang tiga hari acara ini berlangsung.

Acara itu turut menyaksikan kerjasama strategik antara EON dan Bank Muamalat Malaysia Bhd untuk melancarkan Kad Kredit Jenama Bersama Muamalat EON Visa Infinite-i dan Muamalat EON Visa Platinum-i.

Akkbar berkata pemegang kad boleh menikmati pulangan tunai eksklusif untuk transaksi luar negara dan tanpa sentuhan, selain mata ganjaran dan perlindungan Takaful yang komprehensif.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top