EPL halang ESL dihidupkan semula

EPL halang ESL dihidupkan semula

LONDON: Liga Perdana Inggeris (EPL) berkata mereka sedang merancang sesuatu bagi mengelak cubaan untuk menganjurkan Liga Super Eropah (ESL) ketika polis sedang menjalankan siasatan terhadap protes hingga menyebabkan penangguhan perlawanan Manchester United berdepan Liverpool.

Penyokong menceroboh Old Trafford dan berlari ke padang semalam sebagai bantahan terhadap pemilik United, keluarga Glazer yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Polis Greater Manchester berkata enam anggota cedera selepas protes bertukar ganas apabila penyokong membaling suar, botol dan penghadang kepada polis.

Pasukan berkenaan berkata seorang daripada pegawai mengalami kecederaan di mata, seorang lagi di muka manakala seorang lagi diheret dan disepak. Seorang lelaki berusia 28 tahun ditahan disyaki terbabit dalam insiden berkenaan.

Kemarahan terhadap Glazers tercetus selepas pembabitan United dalam projek ESL yang musnah dalam tempoh 48 jam bulan lalu selepas kemarahan ditunjukkan penyokong, pemain, kerajaan dan badan induk.

EPL semalam berkata mereka “bertegas” supaya “kelab bertanggungjawab terhadap keputusan dan apa yang mereka lakukan.”

Mereka juga mengumumkan perancangan baharu dengan semua pemilik kelab perlu menandatangani peraturan membolehkan mereka “komited kepada prinsip asas” liga dengan kelab yang melanggar peraturan akan dihukum dengan penggantungan “tegas”.

“Apa yang berlaku dua minggu lalu mencabar asas bola sepak England,” kata EPL.

“Pendekatan ini dicipta untuk menyekat ancaman memisahkan diri daripada liga pada masa depan.”

– AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top