EPL teruskan tradisi beri laluan pemain Muslim berbuka puasa ketika perlawanan

EPL teruskan tradisi beri laluan pemain Muslim berbuka puasa ketika perlawanan

LIGA Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Bola Sepak Inggeris (EFL) akan meneruskan prosedur khas sempena bulan Ramadan dengan membenarkan perlawanan dihentikan seketika bagi memberi laluan kepada pemain beragama Islam untuk berbuka puasa.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, kapten pasukan bersama pegawai perlawanan akan mencari masa yang sesuai atau ‘natural pause’ ketika permainan sedang berlangsung untuk membenarkan pemain atau pegawai perlawanan beragama Islam berbuka puasa.

Difahamkan, pasukan dan pegawai perlawanan akan berbincang sebelum sepak mula bagi menentukan sama ada pemberhentian itu diperlukan dan menetapkan anggaran masa yang sesuai.

Pihak liga turut menegaskan bahawa waktu rehat ini tidak boleh disalahgunakan sebagai ‘time-out’ taktikal atau sesi minum untuk seluruh pasukan.

Permainan tidak akan dihentikan secara mengejut ketika perlawanan sedang rancak, sebaliknya akan dilakukan pada masa yang paling sesuai seperti ketika sepakan gol, sepakan percuma atau lontaran ke dalam.

Terdahulu pada tahun 2021, satu persetujuan telah dicapai untuk membenarkan pemain Muslim berbuka puasa semasa perlawanan EPL sedang berlangsung.

Detik bersejarah itu pertama kali disaksikan dalam perlawanan antara Leicester City menentang Crystal Palace pada April 2021. Perlawanan tersebut dihentikan ketika sepakan gol kira-kira selepas setengah jam permainan bagi membolehkan Wesley Fofana (Leicester) dan Cheikhou Kouyate (Palace) mengambil minuman dan gel tenaga.

EPL kini dibarisi ramai bintang beragama Islam ternama termasuk Mohamed Salah, William Saliba, Rayan Ait-Nouri dan Amad Diallo yang komited menunaikan rukun Islam ketiga itu sebagai tanda ketaatan kepada agama.

Bekas pemain Everton, Abdoulaye Doucoure dalam satu temu bual bersama BBC Sport pada 2023 memuji keterbukaan liga tersebut terhadap pegangan agama pemain.

“Di Liga Perdana Inggeris, anda bebas melakukan apa sahaja yang sesuai dengan diri anda. Mereka tidak akan sekali-kali melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kepercayaan anda dan ini adalah sesuatu yang hebat.

“Saya berpuasa setiap hari dan tidak pernah tertinggal. Ia sudah menjadi kebiasaan dan sangat mudah bagi saya. Latihan tetap sama semasa Ramadan, cuma apabila kami pergi ke perlawanan di tempat lawan, kami mungkin perlu makan lewat sedikit berbanding pemain lain.

“Tukang masak pasukan akan menyediakan makanan untuk kami, memastikan semuanya tersedia seperti di rumah. Kami mendapat makanan halal, jadi tiada masalah,” ujar Doucoure.

Selain itu, pada tahun 2022, bekas bintang Liverpool, Sadio Mane pernah mendedahkan bahawa kelab tersebut sanggup mengubah jadual latihan demi menyantuni dan menyokong pemain Muslim mereka sepanjang bulan Ramadan.

Ringkasan AI

  • Liga Perdana Inggeris dan Liga Bola Sepak Inggeris akan meneruskan prosedur khas sempena bulan Ramadan dengan membenarkan perlawanan dihentikan seketika bagi pemain Islam berbuka puasa
  • Kapten pasukan dan pegawai perlawanan akan mencari masa yang sesuai untuk memberhentikan permainan bagi pemain Islam berbuka
  • Pasukan dan pegawai perlawanan akan berbincang sebelum perlawanan untuk menentukan keperluan dan masa pemberhentian
  • Waktu rehat tidak boleh disalahgunakan sebagai taktikal atau sesi minum untuk seluruh pasukan
  • Pada tahun 2021, perlawanan EPL antara Leicester City dan Crystal Palace dihentikan bagi membolehkan pemain Muslim berbuka, menandakan kali pertama praktik ini dilaksana
Scroll to Top