Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq memaklumkan kerjasama bersama stesen radio ERA sebagai penyampai segmen pagi tidak dapat diteruskan atas sebab-sebab tertentu.
Menerusi video dikongsikan di Instagram sebentar tadi, Saddiq berkata dia teruja dengan kerjasama tersebut kerana sambil mendidik dalam masa sama menghiburkan pendengar.
BACA: Syed Saddiq Kagum Didi Astillah Kerja Dari Kecil Demi Keluarga
“Pada Khamis lepas, saya telah tandatangan kontrak bersama Era FM untuk sertai 3 Pagi Era sebagai salah seorang penyampai radio mereka. Era teruja, saya pun teruja.
“Saya dah maklumkan kepada mereka 100 peratus gaji saya akan disumbangkan sebagai biasiswa kepada 20 mahasiswa dari Muar, Johor yang berasal dari keluarga susah.
“Saya teruja sebab nak berganding dengan Abang Nabil, Pak Azad dan Radin. Saya nak bawa perspektif ‘edutainment’ (hiburan dan pendidikan). Sambil mendidik, kita menghibur,” katanya.
Sementara itu, Saddiq berkata kontrak telah ditandatangani dan penggambaran juga sudah dilakukan, namun ahli parlimen itu menghargai kejujuran pihak Era serta akan tetap melunaskan bayaran kontrak yang sudah ditandatangani.
“Rundingan dah, sign kontrak dah, photoshoot dah. Mama dan abuyah dah rancang untuk hadir ke pengumuman hari ini.
“Tapi semalam saya dimaklumkan kerjasama ini tidak dapat diteruskan atas sebab-sebab tertentu. Tapi, saya hargai kejujuran Era dalam bab ini. Saya juga tak mahu rumitkan keadaan untuk pihak mereka.
“Era dan Astro tetap berbesar hati tetap mahu lunaskan bayaran kontrak yang dah ditandatangani. Saya akan salurkan 100 peratus jumlah itu ke tabung biasiswa Muar seperti yang dijanjikan.
“Sedih? Tak. Sebab saya percaya, satu pintu rezeki tertutup, sepuluh lagi dibuka,” katanya.
Bagaimanapun, Saddiq berkata di sebalik kedukaan itu, dia menerima tawaran lain bernilai sejuta ringgit serta percaya setiap yang berlaku adalah sebahagian daripada perancangan Allah.
“Pada hari yang sama saya diberitahu plan dengan Era terpaksa ditangguh, saya mendapat tawaran-tawaran berbeza yang berjumlah RM1,060,000. Sebab itu kawan-kawan, ingat satu sahaja, percaya dengan perancangan Allah SWT,” katanya.
Sumber: Sinar Harian