Pasangan penyanyi Ernie Zakri dan Syamel turut tidak ketinggalan mengenakan busana tradisional sedondon bagi meraikan Hari Raya tahun ini, seperti kebanyakan pasangan suami isteri lain.
Berkongsi persiapan Syawal keluarga kecil mereka, Ernie atau nama penuhnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 33, menyatakan mereka lebih mengutamakan kesederhanaan dalam sambutan lebaran.
“Kami menyambut raya seperti biasa, tidak terlalu berlebihan. Soal pulang ke kampung juga tidak menjadi isu kerana bapa mentua saya tinggal bersama kami. Jadi, kami akan beraya dengannya terlebih dahulu sebelum bertolak ke Klang untuk bersama keluarga saya,” jelasnya kepada XTRA.
Mengambil iktibar daripada pengalaman lalu, Ernie dan Syamel kini lebih berhati-hati dalam memilih warna pakaian agar serasi dengan tona kulit masing-masing.
“Tahun ini kami sepakat memilih warna yang lebih sesuai. Tahun lalu saya memilih warna kuning, tetapi Syamel kurang setuju kerana katanya tidak begitu kena dengan tona kulitnya. Jadi, tahun ini kami memilih warna yang lebih selamat,” katanya sambil tertawa.
Selain itu, sebagai ibu bapa, mereka turut menitikberatkan persiapan pakaian untuk anak perempuan mereka, Khawla, yang semakin aktif dan lincah.
“Kami sediakan lebih banyak baju untuk Khawla kerana dia sangat lasak dan gemar bergaya. Jika dia tidak lagi muat memakainya pada tahun depan, kami boleh berikan kepada mereka yang memerlukan,” tambahnya.
Sekadar info, Ernie dan Syamel mendirikan rumah tangga pada Mac 2021 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Khawla Soleha, yang kini berusia tiga tahun.




