Ernie Zakri Bintang Paling Popular ABPBH37

Ernie Zakri Bintang Paling Popular ABPBH37

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Penyanyi Ernie Zakri dinobatkan Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 37 (ABPBH37) yang disiarkan secara langsung di Hotel Premiera , di sini, hari ini.

Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 33, yang penuh beremosi, menangis tersedu-sedu dan sudah menukar baju batik terkejut naik ke pentas dengan kemenangan itu.

“Ya Allah, saya tak pernah jangka, terima kasih kepada semua yang mengundi. Jauh dari sudut fikiran nak dapat ini, saya hargai semua dan doakan agar dapat lakukan lebih baik,” katanya.

Penyanyi Ku Bersuara yang menerima jumlah undian lebih 124 juta itu membawa pulang sebuah trofi, jambangan bunga dan wang tunai bernilai RM30,000.

Selain itu, Ernie turut memenangi trofi Penyanyi Wanita Paling Popular.

Pengiktirafan pemenang keseluruhan ABPBH37 dinobatkan kepada artis yang mendapat undian dan markah juri profesional paling tinggi.

Sementara itu, Datuk David Arumugam menerima Anugerah Khas iaitu Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat yang dihargai atas jasa dan sumbangan sebagai tokoh seni dalam pembangunan industri seni tempatan.

Setiap pemenang bagi setiap kategori akan menerima sebuah trofi dan jambangan bunga.

ABPBH37 dihoskan Raja Azura dan Shiha Zikir. Barisan penyampai trofi terdiri daripada Amira Othman, Daiyan Trisha, Fattah Amin, Fiza Sabjahan, Fizi Ali, Jazmy Juma, Tracie Sinidol, dan Zarif Ghazzy.

ABPBH37 dimeriahkan dengan persembahan Afieq Shazwan, Aisha Retno, Akim Ahmad, Amira Othman, Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Haqiem Rusly, Irfan Haris, Tajul, dan Wanie Kayrie.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top