georgie@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Penyanyi Ernie Zakri terharu dengan sokongan 600 ‘Ernienators’ yang meluangkan masa untuk menyaksikan showcase eksklusif ‘A Letter From Ernie Zakri’ di Stage 1, PJPAC, di sini, semalam.
Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 33, tetap merasakan penerimaan dan sokongan berterusan peminat menjadi nadi penting untuk dia terus bertahan sebagai anak seni.
“Malam ini terlalu indah, seolah-olah saya sedang membuka halaman baharu dalam hidup saya bersama anda semua. Setiap wajah, senyuman dan tepukan yang saya dengar semuanya adalah kekuatan saya.
“Terima kasih kerana sentiasa menerima saya dengan hati yang begitu besar,” katanya pada acara anjuran SAH Entertainment dengan kerjasama Universal Music Malaysia itu.
Showcase selama dua jam itu bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya menjadi ruang pertemuan jiwa antara Ernie dan peminatnya yang hadir untuk mendengar suara hatinya sama ada melalui muzik mahupun kata-kata.
Lebih istimewa, sesi kali ini mempunyai simbolik tersendiri dalam karier Ernie selepas kejayaan Konsert Aura di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre pada 25 Januari lalu.
Jika Aura menampilkan sisi gah dan penuh kekuatan vokalnya, showcase A Letter From Ernie Zakri pula membawa penonton menyelami sisi lembut, jujur dan penuh cerita yang jarang dikongsi di khalayak ramai.
Antara kenangan terindah dibawa pulang peminat termasuk detik ketika seluruh dewan bergema dengan nyanyian bersama, menjadikan ia momen yang tidak akan dilupakan.
Pengarah Urusan SAH Entertainment, Sufi Rashid turut meluahkan rasa bangga melihat sambutan luar biasa daripada peminat.
“Showcase ini adalah ruang kami cipta untuk Ernie kembali kepada intipati dirinya iaitu seorang penyanyi yang berkarya dari hati. Kami berbesar hati melihat bagaimana setiap momen diterima oleh peminat.
“Malam ini menjadi bukti bahawa hubungan Ernie dengan peminatnya bukan sekadar di atas pentas, tetapi hubungan yang lahir daripada kejujuran dan cinta seni,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




