Farmingdale, Amerika Syarikat: Pasukan Eropah berjaya menangkis kebangkitan dramatik Amerika Syarikat (AS) untuk memenangi Piala Ryder, awal pagi tadi apabila pemain Ireland, Shane Lowry, memastikan kejuaraan dengan putt birdie dari jarak 1.8 meter di lubang ke-18 yang mencetuskan detik mendebarkan.
Putt penuh tekanan dari Lowry menyamakan kedudukan dengan pemain AS, Russell Henley, untuk memperoleh setengah mata penting yang mengekalkan trofi di tangan Eropah, dan dua keputusan seri pada lewat petang memastikan kemenangan 15-13 buat pelawat.
“Itu dua jam paling sukar dalam hidup saya,” kata Lowry yang beremosi. “Saya tak percaya putt itu masuk. Saya berdiri di atas bola dan berkata, ‘Inilah saatnya’.
“Saya cakap semasa berjalan ke lubang 18, ‘Saya ada peluang untuk lakukan perkara paling hebat dalam hidup saya’. Piala Ryder sangat bermakna bagi saya dan melakukannya di hadapan semua orang hari ini memang sangat sukar.”
Kemenangan itu merupakan kejayaan ke-11 Eropah dalam 15 edisi terakhir Piala Ryder dan kemenangan keempat di tempat lawan dalam tempoh itu, kejayaan pertama di gelanggang lawan sejak “Miracle at Medinah” pada 2012.
“Ia mungkin 12 jam paling tertekan dalam hidup saya,” kata kapten Eropah, Luke Donald. “Saya tak jangka mereka (AS) akan lawan sekuat ini. Mereka benar-benar berjuang. Tapi kami berjaya.
“Saya sangat bangga dengan semua pemain dan apa yang mereka lalui. Mereka akan tercatat dalam sejarah. Ini untuk generasi akan datang yang bercakap mengenainya untuk tempoh yang lama.”
Walaupun AS masih mendahului rekod sepanjang zaman 27-16-2, Eropah kini mendahului 13-9-1 sejak senarai pasukan mereka dibuka kepada pemain luar Britain dan Ireland pada 1979.
“Saya sangat bangga menjadi sebahagian daripada pasukan ini,” kata pemain nombor dua dunia, Rory McIlroy, yang mencatat rekod 3-1-1. “Ini satu usaha berpasukan yang luar biasa. Minggu menakjubkan.”
Eropah mendahului dengan rekod 11.5-4.5 selepas sesi berpasangan, dan menjadi 12-5 selepas Viktor Hovland (Norway) menarik diri daripada acara perseorangan kerana kecederaan leher, menyebabkan perlawanan menentang Harris English berakhir seri.
Namun, kekalahan awal oleh McIlroy, Jon Rahm, Tommy Fleetwood dan Justin Rose membuatkan Eropah dalam keadaan cemas.
Satu-satunya kemenangan individu Eropah datang dari pemain Sweden, Ludvig Åberg, yang menewaskan Patrick Cantlay 2&1, manakala Matt Fitzpatrick, walaupun mensia-siakan kelebihan 5-up selepas tujuh lubang, berjaya mengikat Bryson DeChambeau meletakkan Eropah di ambang kemenangan.
Setelah memenangi trofi di Rome pada 2023, Eropah hanya memerlukan 14 mata untuk mengekalkan piala, manakala AS memerlukan 14.5 mata untuk merampasnya sekali gus sesuatu yang akan menjadi kebangkitan hari terakhir paling hebat dalam sejarah kejohanan.
Ia hampir berlaku, namun ketegangan di padang mencapai kemuncak sebelum penyudah epik dari Lowry.
© New Straits Times Press (M) Bhd




