Erra Fazira Dah Bawa Mr. E Jumpa Ibu & Keluarga Terdekat  – “Semuanya Masih Baru & Indah”

Erra Fazira Dah Bawa Mr. E Jumpa Ibu & Keluarga Terdekat  – “Semuanya Masih Baru & Indah”

Pelakon, Erra Fazira secara terbuka mendedahkan kekasih hatinya, Ezwan Zain atau lebih mesra dikenali sebagai Mr. E telah pun diperkenalkan kepada ibunya.

Menerusi temu bual bersama podcast Syok, Erra, atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 51, menjelaskan hubungan mereka masih dalam fasa mengenali hati budi, dan enggan mahu terburu-buru dalam membuat keputusan besar setelah hampir sembilan bulan menyulam cinta.

“Fasa perkenalkan kepada mak dah pun selesai. Dia dah kenal keluarga terdekat saya, begitu juga saya dengan keluarganya. Kami tak ‘rushing’. Masih dalam proses mengenali keserasian dan memahami satu sama lain,” ujarnya.

Menurut Erra, mereka mula berkenalan sekitar Ogos tahun lalu, dan hubungan itu masih dalam tempoh yang disifatkan sebagai ‘manis’.

“Nak cakap lebih pun saya takut, sebab semuanya masih baru dan indah. Tapi jika hubungan ini dipermudahkan, saya bersyukur. Kalau sebaliknya, saya reda,” katanya lagi.

Berkongsi lebih lanjut mengenai pengalaman cintanya kini, Erra mengakui dirinya kini lebih matang dan bersikap terbuka dalam menjalin hubungan.

“Dulu, kalau nak keluar ‘dating’ mesti fikir macam-macam. Kena pilih tempat privasi, kena ada peneman, sebab fikir nak jaga hati orang lain juga. Sekarang, saya lebih tenang dan tak perlu sembunyikan apa-apa,” katanya.

Pada Januari lalu, tular di media sosial apabila Erra didakwa sedang asyik dilamun cinta selepas berkongsi sebuah ucapan berunsur romantis yang dipercayai ditujukan kepada seseorang istimewa.

Sejak itu, Erra yang juga pernah bergelar Ratu Cantik Malaysia mula dilihat lebih terbuka mengenai hubungan peribadinya apabila tampil bersama Ezwan dalam siaran langsung di platform media sosial.

Kemunculan mereka dalam sesi ‘live’ tersebut menerima reaksi positif daripada para pengikut, yang rata-ratanya berharap hubungan itu berakhir dengan ikatan perkahwinan.

Sumber: YouTube Syok Podcast

Scroll to Top