Erry sandaran pingat di Kemboja

Erry sandaran pingat di Kemboja

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kem angkat berat negara kemungkinan tidak pulang dengan tangan kosong di Sukan Sea Kemboja apabila atlet angkat berat negara, Muhammad Erry Hidayat menjadi sandaran untuk memenangi pingat buat Malaysia pada temasya dwi tahunan itu.

Jurulatih angkat berat negara, Yon Haryono berkata, Erry yang juga pemenang pingat perak pada temasya Sukan Komanwel Birmingham kini berada pada tahap terbaik dengan sekurang-kurangnya mampu membawa pulang gangsa untuk negara.

Beliau berkata, Erry bakal menjalani latihan intensif di Surabaya, Indonesia, dalam tempoh sebulan sebelum mengharungi cabaran negara di Sukan Sea Kemboja bermula 5 Mei depan.

“Erry dalam tempoh sebulan ini akan mengikuti program yang sudah direncanakannya untuknya dan berharap dapat melakukan catatan terbaiknya.

“Pada masa sama, kita melihat Erry akan mendapat tentangan sengit terutama daripada pemegang rekod dunia dari Indonesia dan juga peserta Thailand yang pernah memenangi acara peringkat antarabangsa.

“Oleh itu, berdasarkan pencapaian semasa Erry dan pesaingnya yang lain sudah tentu tidak mustahil dia boleh membawa pulang sekurang-kurangnya gangsa,” katanya,ketika ditemui pada sesi lawatan ketua kontinjen ke kem angkat berat di Majlis Sukan Negara (MSN), di sini, semalam.

Mengikut rekod, pada edisi sukan Sea Hanoi, anak kepada bekas jaguh angkat berat negara Hidayat Hamidon itu berjaya meraih gangsa menerusi bebanan seberat 316kg bagi kategori ‘snatch’ dan ‘clean and jerk’.

Sementara itu, berkaitan kem angkat berat ke Sukan Sea Kemboja tanpa kehadiran dua badang negara, Muhamad Aznil Bidin dan Mohamad Aniq Kasdan, Yon menjelaskan bahawa dua individu berkenaan terpaksa mengharungi kejohanan lain dalam usaha mengumpul mata untuk layak ke Sukan Olimpik Paris.

“Aniq dan Aznil akan mengikut atlet angkat berat lain menjalani latihan di Surabaya sebelum kedua-duanya berlepas ke Kejohanan Asia di Korea Selatan yang menjadi medan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris.

“Jadinya, mereka perlu melakukan persiapan rapi dan terpaksa melupakan untuk menyertai Sukan Sea Kemboja sekali gus mengharapkan lima wakil negara di temasya dwi tahunan itu mampu melakukan kejutan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top