Pelakon Erysha Emyra, 26, akui tanggungjawab sebagai anak seni menuntut komitmen besar termasuk dari segi penampilan dan imej setiap kali menjayakan watak.
Menurut Erysha, dia sanggup melabur ribuan ringgit hanya untuk pakaian setiap kali terlibat dalam penggambaran, demi memastikan setiap karakter yang dibawanya tampil berbeza dan ada ‘jiwa’ tersendiri.
“Kalau ikutkan, memang setiap drama saya akan peruntukkan ribuan ringgit untuk pakaian. Sebagai pelakon berhijab, saya tak boleh ubah gaya rambut, jadi fesyenlah yang saya gunakan untuk bagi kelainan.
“Sejak drama pertama lagi saya memang suka beli dan simpan baju setiap watak. Sekarang bila buka almari, boleh nampak koleksi karakter saya sebelum ni. Cuma baju tidur je yang berulang” katanya.
Dalam drama terbarunya Satu, Dua. Dia?, Erysha sekali lagi menitikberatkan soal imej untuk menjiwai watak Mia, malah dia sanggup mengupah penata gaya peribadi bagi memastikan penampilannya ‘on point’.
“Kami selongkar baju-baju dalam almari dan ‘mix & match’ jadi gaya baharu. Dalam 95 peratus babak, baju yang saya pakai memang milik sendiri. Ada juga rekaan Melinda Looi cantik sangat! Tapi selebihnya hasil idea saya dan stylist,” katanya.
Erysha berkata demikian ketika ditemui di pelancaran drama Satu, Dua. Dia? baru-baru ini.
Anak kepada pelakon terkenal Datin Seri Noniswara Baharudin ini menganggap apa yang dilakukannya bukan beban, sebaliknya satu bentuk pelaburan untuk kualiti karya.
“Setiap orang ada cara sendiri. Kalau produksi sediakan wardrobe, baguslah. Tapi kalau tak, saya rela guna duit sendiri. Saya anggap ia pelaburan untuk hasil kerja yang lebih baik,” jelasnya.
Bukan itu saja, Erysha juga sanggup ubah bentuk badan kalau watak menuntut asalkan ada pasukan yang menyokong dari segi solekan, gaya tudung dan fesyen.
“Sebagai pelakon berhijab, ruang transformasi agak terhad. Tapi kalau ada peluang untuk ubah imej, saya suka cabaran tu.
“Dalam satu drama sebelum ni, saya bawa watak gadis kampung. Tudung pun sengaja saya renyukkan supaya nampak realistik. Mula-mula produksi macam tak setuju sebab risau nampak tak kemas, tapi bila tayangan keluar, ramai penonton perasan dan puji usaha tu,” kongsinya.
Drama Satu, Dua. Dia? yang mula ditayangkan di Viu pada 23 Oktober 2025 turut menampilkan barisan pelakon lain seperti Ariel Fesol, Zarif Ghazzi, Afiq Hamidon, Rizal Rasid dan Fimie Don.




