Eskayvie raikan lebih 600 pelajar cemerlang SPM 2025

Eskayvie raikan lebih 600 pelajar cemerlang SPM 2025

Shah Alam : Eskayvie terus memperkukuh komitmennya dalam pembangunan generasi muda apabila meraikan lebih 600 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Kesemua pelajar bertuah dari seluruh negeri diraikan dalam Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Eskayvie Mindtropic 2026, bertempat di Courtyard by Marriott Setia Alam di sini, semalam.

Menurut Pengarah Urusan Eskayvie, Dr Kartika Wati Mohamed, majlis berkenaan adalah platform penghargaan yang bukan sekadar meraikan kejayaan akademik tetapi mengangkat mesej lebih besar tentang bagaimana potensi anak perlu disokong, dibina dan disuburkan secara konsisten bermula dari rumah.

Katanya, dalam dunia yang semakin mencabar hari ini, kejayaan anak tidak lagi boleh diukur melalui keputusan peperiksaan semata-mata tetapi perlu dilihat secara lebih menyeluruh melalui keupayaan mereka untuk berfikir secara kritis, berdaya tahan, kreatif, menyesuaikan diri dan terus berkembang dalam persekitaran yang sentiasa berubah.

“Pendekatan ini selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035, yang menekankan pembentukan Insan Sejahtera iaitu murid yang bukan sahaja berilmu tetapi turut beradab, berkemahiran, berkeyakinan dan mempunyai daya tahan yang tinggi.

“Potensi anak tidak hanya dibina di dalam bilik darjah, tetapi ia bermula dari rumah melalui pemakanan yang seimbang, sokongan emosi yang konsisten, tidur yang mencukupi, persekitaran belajar yang tenang dan keyakinan yang dibina hari demi hari sehingga mereka dewasa,” ujarnya.

Majlis itu turut menghimpunkan pelajar cemerlang SPM 2025 bersama ibu bapa dari seluruh Malaysia, dalam suasana penuh inspirasi, penghargaan dan harapan terhadap masa depan generasi negara.

Ia adalah kesinambungan kepada kempen “Booster Minda: Serlahkan Potensi Anak Anda,” iaitu inisiatif Eskayvie yang lahir daripada kesedaran bahawa setiap anak mempunyai potensi tersendiri untuk berjaya dan potensi tersebut perlu dibimbing, dipupuk dan disokong secara konsisten setiap hari.

Selain menampilkan dua kategori pengiktirafan utama, iaitu Pelajar Semua A dan Peningkatan Cemerlang bagi meraikan bukan sahaja keputusan tertinggi, malah perjalanan peningkatan luar biasa yang ditunjukkan oleh para pelajar.

Majlis diserikan dengan kehadiran Duta Eskayvie yang juga selebriti popular, Datuk Aznil Hj Nawawi dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dr Kartika berkata, pelaburan paling bijak yang boleh dilakukan oleh ibu bapa hari ini bukan hanya tertumpu kepada pendidikan formal, tetapi kepada asas yang membantu perkembangan minda anak secara optimum setiap hari.

Katanya, Eskayvie percaya bahawa nutrisi minda yang konsisten ialah asas yang paling utama kepada bagaimana anak belajar, berfikir dan membina keyakinan diri.

“Sokongan ini kemudiannya diperkukuh melalui aspek lain seperti emosi, spiritual, persekitaran pembelajaran yang kondusif, pemakanan seimbang dan sokongan berterusan dari rumah, yang bersama-sama penting dalam menyokong perkembangan kognitif anak-anak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan & Inovasi yang juga Pengarah Eksekutif Eskayvie, Dr Syid Ayob Syid Mustafa Al-Qudri berkata, kejayaan anak hari ini memerlukan asas yang lebih lengkap.

“Kita perlu ubah cara melihat kejayaan dan ia bukan hanya tentang pembelajaran di sekolah atau di pusat tuisyen tetapi juga menyediakan asas yang lengkap iaitu nutrisi yang tepat, emosi yang stabil, persekitaran yang menyokong dan rutin yang konsisten,” ujarnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top