Barcelona: Barcelona tetap meletakkan sasaran utama untuk menjuarai Liga Juara-Juara (UCL) musim ini, namun jurulatih Hansi Flick menegaskan pemainnya perlu memberi fokus penuh kepada aksi tetangga La Liga menentang Espanyol, hujung minggu ini.
Barcelona yang kini mendahului La Liga dengan kelebihan tujuh mata ke atas Real Madrid berdepan tekanan selepas tewas 0-2 kepada Atletico Madrid dalam aksi suku akhir pertama UCL di Camp Nou.
Flick mengakui trofi Eropah kekal menjadi impian terbesar kelab, namun menegaskan tugas harian dalam liga tidak boleh diabaikan, terutama dalam perlawanan penting seperti musuh sejiran.
“Liga Juara-Juara adalah impian semua orang di kelab ini, tetapi kami perlu melakukan tugas kami dalam La Liga terlebih dahulu,” katanya.
Barcelona yang kali terakhir menjulang trofi UCL pada 2015 dijangka melakukan sedikit rombakan skuad bagi mengurus kecergasan pemain menjelang aksi timbal balik di Madrid minggu depan.
Dalam masa sama, Flick yakin anak buahnya tidak akan hilang fokus walaupun berdepan jadual padat, sambil menegaskan kemenangan ke atas Espanyol tetap menjadi keutamaan sebelum memikirkan cabaran di pentas Eropah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




