Ethiopia hadapi krisis makanan – PBB

Ethiopia hadapi krisis makanan – PBB

NAIROBI: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam menggesa pembukaan laluan bantuan kritikal di Tigray, Ethiopia susulan krisis makanan yang semakin serius.

Badan dunia itu memberi amaran penduduk di wilayah berkenaan diancam kebuluran kerana sudah kehabisan bekalan makanan.

Akses masuk ke wilayah itu terhalang pada minggu lalu kerana berlaku serangan dan ia adalah satu-satunya laluan penghantaran bantuan yang boleh diakses konvoi Program Makanan Sedunia.

Kira-kira 150 trak berisi makanan dan bekalan lain ditahan di Semera sementara menunggu kelulusan rasmi keselamatan.

Sementara itu, 44 trak lain sudah menuju ke Tigray pada Rabu lalu, kata Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) iaitu agensi di bawah PBB dalam satu kenyataan.

Semera adalah ibu negeri wilayah Afar yang bersempadan dengan Tigray di bahagian timur dan menjadi kunci selepas dua jambatan di sepanjang laluan terbabit dimusnahkan pada Jun lalu.

Konvoi terakhir berjaya tiba di Mekele, Tigray pada 12 Julai lalu dan OCHA memberi amaran baki bekalan makanan yang tinggal sekarang cuma dapat bertahan sehingga Jumaat ini.

“Rakan sukarelawan kami juga akan kehabisan barang keperluan terutama formula bagi merawat kira-kira 4,000 kanak-kanak yang kekurangan zat setiap bulan,” jelas OCHA.

Pada November tahun lalu, Perdana Menteri Ethiopia, Abiy Ahmed, mengerahkan tentera ke Tigray untuk menahan pemimpin dan merampas senjata kumpulan pemberontak yang memerintah ketika itu, Barisan Pembebasan Rakyat Tigray (TPLF).

Peperangan memburukkan lagi krisis kemanusiaan di wilayah terbabit dan PBB sudah memberi amaran bahawa 400,000 orang terjerumus dalam kancah kebuluran.

“Kekurangan bekalan, bahan api dan peralatan komunikasi dijangka menghentikan usaha kemanusiaan dalam dua minggu lagi dan dianggarkan 600 trak barang diperlukan setiap minggu.

“Kekurangan bahan api menjejaskan bantuan kesihatan termasuk vaksinasi dan perkhidmatan kesihatan lain serta berisiko mengganggu akses air bersih untuk kegunaan 450,000 orang,” kata agensi PBB itu. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top