Etnis Uyghur: Asal Usul dan Penindasan di Xinjiang

Petaling Jaya: Etnis Uyghur merupakan salah satu kelompok daripada etnik Turkik yang menetap di wilayah barat laut China, khususnya di kawasan yang kini lebih dikenali sebagai Xinjiang Uyghur Autonomous Region (XUAR). Mereka mempunyai identiti agama dan budaya islam yang sangat kuat serta mempunyai warisan sejarah yang panjang di Asia Tengah. Namun dalam tempoh beberapa dekad ini, etnis ini perlu berdepan dengan tekanan serta pelanggaran hak asasi manusia daripada pemerintah China. Penindasan yang berlaku terhadap Uyghur bukan hanya isu dalaman China, tetapi ianya telah menjadi isu global kerana menyentuh unsur diskriminasi, penindasan identiti serta jenayah kemanusiaan yang telah diakui oleh pelbagai badan antarabangsa.

Sejarah bangsa Uyghur dapat dilihat sejak abad ke-8 Masihi dengan kemunculan Kerajaan Uyghur atau Uyghur Khaganate di Mongolia. Selepas berlakunya kejatuhan akibat serangan bangsa Kirghiz, masyarakat Uyghur mula berhijrah ke kawasan Turkestan Timur yang mana merupakan satu kawasan yang strategik bertempat di Jalur Sutera (Silk Road) yang kini merupakan sebahagian daripada Xinjiang. Di sinilah mereka mula membina tamadun islam yang maju dan mereka mula memeluk islam pada abad ke-10 melalui pengaruh Kerajaan Karakhanid. Bandar-bandar utama turut dibangun seperti bandar Kashgar, Hotan dan Turpan yang berkembang menjadi pusat ilmu dan perdagangan yang mana menghubungkan dunia islam dengan China.

Disebabkan wilayah ini berada di kawasan yang strategik, ianya menjadi tumpuan dan rebutan kuasa besar. Sejak era Dinasti Qing pada abad ke-18, Turkestan Timur sudah berada dibawah pengaruh China. Walaupun masyarakat Uyghur sendiri telah menubuhkan Republik Islam Turkestan Timur sebanyak dua kali iaitu pada 1933-1934 dan 1944-1949, kedua-duanya telah berjaya di jatuhkan pada 1949 apabila Mao Zedong dan Parti Komunis China berjaya menakluki wilayah tersebut.

Selepas penubuhan XUAR pada tahun 1955, terdapat beberapa perjanjian autonomi yang diberikan oleh Beijing namun ianya tidak dilaksanakan dan hanya sebagai simbolik. Terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa Kerajaan China melaksanakan satu program migrasi besar-besaran etnis Han ke Xinjiang pada 1950-an. Ini menyebabkan berlakunya perubahan demografi yang sangat drastic dari hanya 5% populasi etnis Han di Xinjiang pada 1949 melonjak sehingga lebih 40% pada 1978. Program migrasi besar-besaran ini menjadikan penduduk asal Uyghur menjadi minority di tanah mereka sendiri serta mencetuskan ketidakseimbangan sosial dan ekonomi.

Kerajaan China juga melaksanakan dasar monocultural dan Sinicization, iaitu pemaksaan budaya Han keatas etnik minoriti yang ada di Xinjiang. Bahasa Uyghur telah dilarang untuk digunakan di sekolah-sekolah, pelajaran sejarah dan budaya juga telah digantikan dengan kurikulum berasaskan ideologi komunis. Kebebesan beragama juga turut disekat seperti masjid dirobohkan, aktiviti solat dan puasa di pantau dan perempuan dilarang untuk memakai hijab di tempat awam. Kerajaan China juga melaksanakan program kawalan kelahiran atau one-child policy yang dikenakan dengan sangat tegas terhadap etnis Uyghur, terdapat juga laporan yang mengatakan mereka juga dilakukan pemandulan secara paksa dan pengguguran bayi. Perkara ini dapat dilihat sebagai satu usaha bagi mengurangkan populasi Uyghur di wilayah tersebut.

Pada tahun 2014, pemerintah China menjalankan satu kempen yang dinamakan sebagai “Strike Hard Campaign” dengan alasan bagi memerangi ekstremisme dan terorisme. Namun jika dilihat pada pandangan Human Right Watch dan Amnesty International, kempen ini hanya dijadikan alasan bagi menahan lebih daripada sejuta penduduk Uyghur di kem konsentrasi atau dikenali sebagai pusat pendidikan semula. Di dalam kem tersebut dilaporkan bahawa tahanan dipaksa untuk meninggalkan agama mereka, menyayikan lagu komunis serta menjadi pekerja paksa di kilang tekstil. Kajian oleh Firsty & Gonda (2020) menegaskan bahawa tindakan-tindakan ini memenuhi elemen “kejahatan terhadap manusia” sepertimana yang telah tertulis dalam Statuta Roma Pasal 7, iaitu perbuatan sistematik terhadap masyarakat awam yang melibatkan penahanan sewenang-wenang, penyeksaan, dan pemusnahan identiti budaya.

Kita dapat melihat respon dunia terhadap isu Uyghur ini berbeza-beza. Negara-negara barat seperti Amerika Syarikat dan Kanada secara terbuka menuduh cina melakukan genosid terhadap budaya. Namun, banyak negara islam yang memilih pendekatan berhati-hati kerana ingin menjaga kepentingan ekonomi bersama China. Satu-satunya negara islam yang memberikan respon tegas ialah Turki, yang mana mereka mempunyai hubungan sejarah dan budaya dengan Uyghur iaitu daripada keturunan Turkik. Turki menunjukkan respon verbal dan non-verbal iaitu mengecam Tindakan Beijing di peringkat antarabangsa dan menyokong penempatan semula pelarian Uyghur.

Isu Uyghur merupakan gambaran jelas bagaimana kuasa politik mampu menindas kaum minoriti dengan alasan bagi menjaga kestabilan nasional. Jika dilihat dari sudut sejarah, Uyghur bukan sahaja memiliki hak terhadap tanah air mereka, tetapi warisan budaya dan agama yang diiktiraf dunia. Jelas menunjukkan bahawa pemerintah China melanggar prinsip Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (1948) dan Statuta Roma (1998). Oleh itu, isu Uyghur perlu terus dibicarakan dalam wacana akademik dan diplomatik serta diangkat pada peringkat antarabangsa supaya masyarakat Uyghur mendapat hak ditanah mereka sendiri.

Oleh: Ahmad Haziq Bin Kamaruzaman
Pelajar Sejarah, Tamadun dan Pendidikan Islam
019-4561743
ahmadhaziq1101@gmail.com

Scroll to Top