EU kecam Belarus lencong pesawat tahan aktivis pembangkang

EU kecam Belarus lencong pesawat tahan aktivis pembangkang

MINSK: Tindakan Belarus melencongkan penerbangan Ryanaair ke Lithuania yang dinaiki aktivis pembangkang dikehendaki, Roman Protasevich, 26, sebelum mendarat di Minsk semalam mencetuskan kemarahan pemimpin Kesatuan Eropah (EU) dengan mengaitkan ia sebagai tindakan pengganas.

Stesen televisyen Belarus melaporkan blogger yang dikenakan tindakan buang negeri dan tinggal di Poland itu ditahan selepas penerbangan FR4978 dilencongkan dari laluan Athens ke Vilnius, atas dakwaan dibimbangi memberi ancaman keselamatan.

Beberapa jam selepas pesawat itu mendarat di Vilnius, beberapa penumpang berkata blogger itu dilihat agak cemas berikutan destinasi penerbangan secara tiba-tiba ditukarkan ke Belarus.

“Dia berpaling kepada kami dan berkata akan berdepan hukuman mati,” kata warga Lithuania, Monika Simkiene, 40, kepada AFP.

Dalam pada itu, EU bersedia untuk membincangkan bagi memperketatkan lagi sekatan sedia ada terhadap Belarus dalam sidang kemuncak hari ini, susulan tindakan keras rejim Presiden, Alexander Lukashenko terhadap aktivis pembangkang berkenaan.

“Tindakan rejim Belarus yang keterlaluan dan menyalahi undang-undang ini akan mengundang implikasi yang buruk.

“Tindakan sekatan akan dikenakan terhadap mereka yang bertanggungjawab merampas pesawat Ryanair.

“Roman Protasevich perlu dibebaskan segera,” kata Ketua EU, Ursula von der Leyen di Twitter.

Sementara itu, lapangan terbang Minsk dalam satu kenyataan, berkata pesawat itu terpaksa melakukan pendaratan cemas berikutan ancaman bom.

“Pesawat itu diperiksa, tidak ada bom yang dijumpai dan semua penumpang melalui pemantauan keselamatan lain,” lapor saluran kumpulan pembangkang melalui aplikasi Telegram, Nexta.

Untuk rekod, pihak berkuasa Belarus meningkatkan tindakan keras terhadap pembangkang berikutan tunjuk perasaan bersejarah yang melanda bekas negara Soviet itu selepas pemilihan presiden tahun lalu yang dipertikaikan. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top