EU mahu ambil tindakan terhadap AstraZeneca

EU mahu ambil tindakan terhadap AstraZeneca

BRUSSELS: Brussels semalam memaklumkan akan memperketatkan pemeriksaan untuk mengeksport vaksin COVID-19 dari Kesatuan Eropah (EU), ketika pegawai kanan kesihatan memberi amaran blok itu sedang ‘bertindak’ terhadap bekalan AstraZeneca.

Suruhanjaya Eropah akan melaksanakan ‘penilaian semula ketelusan eksport dan mekanisma kelulusan’ hari ini, kata seorang jurucakap kepada wartawan.

Isu itu juga dijangka dibincangkan ketika sidang video antara pemimpin EU esok dan Jumaat.

Beberapa pegawai memaklumkan, penilaian semula itu tidak bererti larangan eksport secara am, namun akan menyokong apa yang disebut Ketua Suruhanjaya EU, Ursula von der Leyen, sebagai prinsip timbal balik.

Pada masa sama, ia akan memperkukuhkan hak suruhanjaya itu sekiranya mahu menghalang eksport ke negara memiliki rekod vaksinasi yang baik dan yang menghasilkan vaksin, namun tidak mengeksportnya ke EU.

Ia akan memberi kesan kepada Britain, yang bergerak lebih pantas dalam memvaksin penduduk negara itu, di samping mengimport jutaan dos daripada kilang berpusat di EU.

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, menzahirkan kebimbangan terhadap langkah EU itu, namun pada masa sama berharap penyelesaian dapat dirunding dan dicapai.

“Dalam negara ini, kami tidak percayakan larangan sebarang vaksin atau barangan berkaitan vaksin,” katanya dalam sidang media.

Minggu lalu, Suruhanjaya Eropah memaklumkan, sedia melaksanakan syarat lebih ketat untuk eksport vaksin, dalam usaha yang menyasarkan AstraZeneca yang berpangkalan di United Kingdom (UK).

Ketua pengarah bahagian kesihatan Suruhanjaya Eropah, Sandra Gallina, berkata EU tidak berpuas hati dengan AstraZeneca kerana syarikat itu hanya membekalkan satu perempat daripada lebih 100 juta dos yang dijanjikan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

EU berang kerana sehingga bulan ini, AstraZeneca mengekalkan penghantaran bekalan yang lancar ke UK, namun bekalan kepada blok itu pula tidak mencukupi. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top