BRUSSELS: Suruhanjaya Eropah (EU) bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap AstraZeneca kerana tidak menghantar bekalan dos vaksin seperti dijadualkan.
Diplomat EU berkata, cadangan itu sudah dipanjangkan kepada negara anggota, semalam, sebelum maklumat mengenainya dipaparkan di laman web Politico.
Menurut mereka, sebarang tindakan undang-undang terhadap AstraZeneca akan dijalankan di mahkamah Belgium, iaitu bidang kuasa yang dipersetujui di bawah kontrak komisen dengan syarikat farmasi Britain-Sweden.
Seorang diplomat EU menyatakan, suruhanjaya itu mahu negara anggota yang juga mempunyai peranan dalam rundingan kontrak vaksin untuk blok itu bagi menyokong tuntutan mahkamah dengan menyatakannya selewat-lewatnya akhir minggu ini.
“Masalah kini ialah negara anggota tidak mengetahui bahawa aduan itu sedang direncanakan.
“Ia adalah prosedur yang sensitif dan kita tidak mahu berlakunya ketidakyakinan terhadap vaksin,” katanya.
Seorang lagi diplomat berkata, tidak semua negara anggota berada dalam persetujuan untuk mengheret syarikat itu ke muka pengadilan dengan menekankan bahawa sasaran mereka hanyalah mahu AstraZeneca menghantar dos seperti yang dijanjikan dalam kontrak.
Sehingga kini, AstraZeneca sudah menghantar 30 juta daripada 120 juta dos yang dijanjikan dan memberi peringatan akan hanya menyediakan 70 juta daripada 180 juta lagi yang bakal dihantar sepanjang tahun ini.
Keyakinan orang awam terhadap suntikan AstraZeneca terjejas selepas Pengawalselia Perubatan Eropah (EMR) menyatakan vaksin itu mungkin mempunyai kaitan dengan pembekuan darah yang boleh memberi kesan kepada otak dan boleh mengakibatkan maut, walaupun jarang berlaku.
EMA dan suruhanjaya tidak mengubah pendirian mereka terhadap penggunaan AstraZeneca dengan menyatakan manfaatnya melebihi risiko, namun beberapa negara EU mengehadkan penggunaannya kepada warga emas berusia lebih daripada 50, 55 atau 60 tahun.
Sementara itu, Ketua AstraZeneca Perancis-Australia, Pascal Soriot, menegaskan kontrak syarikatnya dengan EU hanya tertakluk kepada klausa ‘usaha munasabah terbaik’. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd