BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) memperketatkan peraturannya mengenai eksport vaksin COVID-19 supaya kebenaran untuk penghantaran ke destinasi sepatutnya adalah adil terutama yang menghasilkan vaksin.
Tindakan itu dilakukan ketika Brussels bertengkar dengan pengeluar vaksin AstraZeneca yang berpusat di United Kingdom (UK) berikutan kekurangan bekalan, mencetuskan amaran Britain terhadap ‘sekatan sewenang-wenangnya’.
Namun, Britain dan Suruhanjaya Eropah (EC) kemudian mengeluarkan kenyataan bersama yang menekankan bahawa saling kebergantungan mereka dalam menghasilkan vaksin bermaksud kerjasama diperlukan.
“Kami sedang mengusahakan langkah-langkah khusus yang dapat diambil dalam jangka pendek, sederhana dan panjang untuk mewujudkan situasi menang-menang dan memperluas bekalan vaksin untuk semua warga negara kami,” menurut kenyataan bersama itu.
Di bawah peraturan eksport vaksin yang disemak semula, EU akan mempertimbangkan keperluan negara yang memerlukan dari segi kadar jangkitan dan berapa banyak vaksin yang mereka miliki serta kesediaan mengeksport dos ke EU.
“Jalan terbuka harus berjalan di kedua-dua arah. Inilah sebabnya mengapa EU memperkenalkan prinsip timbal balik dan berkadar ke dalam mekanisme kebenaran EU yang ada,” kata Ketua EU, Ursula von der Leyen yang merujuk kepada skim pemeriksaan eksport vaksin yang diperkenalkan pada Februari lalu.
Naib Presiden EU, Valdis Dombrovskis, berkata AstraZeneca sehingga kini tidak berjaya memberikan 30 juta dos yang dijanjikan dalam tiga bulan pertama tahun ini di mana ia jauh di bawah 120 juta dos menerusi kontrak perjanjian.
Awal bulan ini, EU menyokong Itali menggunakan mekanisme untuk melarang pengiriman 250,000 dos AstraZeneca yang ditujukan untuk Australia.
Ini adalah satu-satunya larangan yang disokong, tetapi 380 permintaan eksport lain dipersetujui termasuk permintaan mengirim 11 juta dos ke Britain. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




