
BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) akan melaksanakan sekatan terhadap 11 individu yang dikaitkan dengan rampasan kuasa di Myanmar pada 1 Feb lalu, kata Ketua Dasar Luar EU, Josep Borrell setibanya di mesyuarat menteri luar blok itu di Brussels.
Dengan embargo senjata api ke atas Myanmar dan sesetengah pegawai kanan tentera disasarkan sejak 2018, sekatan terbaharu itu akan menjadi respons paling signifikan EU setakat ini sejak rampasan kuasa pada bulan lalu.
“Kami akan melaksanakan sekatan terhadap 11 orang yang terbabit dalam rampasan kuasa dan penindasan penunjuk perasaan,” kata Borrell sambil menambah keadaan di negara itu bertambah teruk.
Reuters pada 8 Mac lalu melaporkan EU bersedia melaksanakan langkah itu. Nama individu terbabit dijangka didedahkan sebaik saja sekatan diputuskan secara rasmi oleh menteri.
Langkah lebih ketat dijangka dilaksanakan tidak lama lagi kerana EU sedang menyasarkan perniagaan dikendalikan junta tentera.
Diplomat EU memberitahu Reuters yang sebahagian daripada konglomerat tentera, Myanmar Economic Holdings Limited (MEHL) dan Myanmar Economic Corporation (MEC), mungkin menjadi sasaran, dengan pelabur dan bank EU dihalang berurusan dengan mereka.
Konglomerat itu terbabit dalam pelbagai bidang ekonomi daripada perlombongan, pembuatan, makanan dan minuman, perhotelan, telekomunikasi dan perbankan.
Ia antara pembayar cukai terbesar negara itu dan berhasrat kerjasama dengan syarikat asing ketika Myanmar melaksanakan dasar terbuka semasa liberalisasi demokratiknya.
Misi mencari fakta Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 2019 mengesyorkan sekatan terhadap dua syarikat dan anak syarikatnya atas alasan ia memberi sumber pendapatan tambahan kepada tentera yang boleh digunakan untuk membiayai pelanggaran hak asasi manusia.