EURO: Ali Daei ucap tahniah kepada Ronaldo

EURO: Ali Daei ucap tahniah kepada Ronaldo

LONDON: Legenda bola sepak Iran, Ali Daei mengucapkan tahniah kepada Cristiano Ronaldo selepas menyamai rekod 109 gol antarabangsa dan menyatakan rasa bangga rekod itu menjadi milik pemain Portugal berkenaan.

Penyerang Juventus itu menyempurnakan dua sepakan penalti untuk mengikat Perancis 2-2, sekali gus mara ke pusingan 16 terbaik Kejuaraan Eropah 2020.

Dua gol itu membolehkan Ronaldo menghimpun 109 gol, menyamai rekod yang dilakukan oleh Daei bersama pasukan Iran.

“Tahniah kepada Cristiano Ronaldo yang kini hanya satu gol untuk memecahkan rekod jaringan antarabangsa terbanyak bagi bola sepak lelaki,” katanya menerusi Instagram.

“Saya berbangga kerana pencapaian luar biasa ini menjadi milik Ronaldo, juara bola sepak hebat dan insan penyayang yang menginspirasikan dan memberi impak di seluruh dunia.”‘

“Vamos!”

Bagaimanapun, Ronaldo memerlukan 178 penampilan untuk meraih rekod terbabit, berbanding Daei yang melakukannya dalam 145 perlawanan bersama Iran.

Portugal akan bertemu Belgium pada pusingan 16 terbaik dengan prospek bertemu Itali di suku akhir. – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top