LONDON: Bos England sedang mengadakan perbincangan mengejut bagi memastikan skuad kendalian Gareth Southgate bebas daripada COVID-19 selepas ujian positif terhadap Billy Gilmour.
Pemain tengah Scotland itu diuji positif hanya sehari selepas berdepan skuad Three Lions di Wembley.
Ia bermakna Gilmour, 20, akan terlepas saingan Kumpulan D berdepan Croatia kerana perlu mengasingkan diri selama 10 hari.
Ada kebimbangan bahawa bintang England mungkin terkena jangkitan COVID-19 dalam perlawanan berkenaan walaupun tidak diketahui bila Gilmour sendiri dijangkiti.
Keseluruhan skuad England dan staf sokongan diuji negatif semalam dan latihan berlangsung seperti biasa hari ini.
Rakan sepasukannya di Chelsea, Ben Chilwell dan Mason Mount dilihat memeluk pemain itu selepas perlawanan berkenaan.
Bos Scotland, Steve Clarke juga memeluk Pemain Terbaik Perlawanan itu selepas cemerlang dalam penampilan sulung di Euro ketika seri 0-0 di Wembley.
Kem England sentiasa menjalani ujian dan masih tiada keputusan positif sepanjang kejohanan.
COVID-19 boleh berada dalam badan selama 14 hari sebelum menunjukkan simptom. – Agensi
© New Straits Times Press (M) Bhd




