EURO: Gawang Pickford bolos selepas 725 minit

EURO: Gawang Pickford bolos selepas 725 minit

LONDON: Denmark membuka tirai jaringan ketika perlawanan separuh akhir di Stadium Wembley – hanya selepas Jordan Pickford memecah rekod minit terbanyak tanpa dibolosi.

Penjaga gol England berusia 27 tahun itu merekodkan 725 minit tanpa dibolosi sebelum sepakan percuma Mikkel Damsgaard meletakkan Denmark di hadapan.

England terus memburu jaringan namun asakan Bukayo Saka berjaya mengkucar-kacirkan lawan sebelum Simon Kjaer menjaringkan gol sendiri.

Perlawanan diheret ke masa tambahan yang menyaksikan Harry Kane menjaringkan gol kemenangan England.

Three Lions dijadual bertemu Itali pada aksi final, Isnin ini.

Pickford memecahkan rekod itu pada minit ke-25 perlawanan sekali gus mengatasi pemegang sebelum ini, Gordon Bank yang melakukan 720 minit tanpa dibolosi.

Rekod Banks itu dilakukannya pada Piala Dunia 1966, satu-satunya kejohanan utama yang dimenangi England sehingga hari ini.

Begitupun, pencapaian dilakukan Pickford itu terhenti lima minit kemudian apabila Damsgaard berjaya membolosi kekebalan gawang gol yang dikawalnya.

Bekas pembantu pengurus England, Gary Neville ketika mengulas mengenai prestasi Pickford berkata: “Jordan Pickford harus melakukan sesuatu yang lebih baik.

“Jaringan hampir tiba. Denmark mampu menembusi pertahanan kita dengan begitu mudah, empat pertahanan terakhir kita seakan terpisah. Saya sentiasa memikirkan sekiranya bola pergi ke penjuru, sekiranya begitu, ia tidak ada masalah.

“Tetapi yang ini di tengah, penjaga gol perlu menyelamatkannya… dia tentunya sangat kecewa.”

Kali terakhir Pickford melepaskan gol ketika menyarung jersi Three Lions adalah ketika menentang Denmark, Oktober lalu dalam saingan Liga Negara-Negara.

Pickford sudah dijamin untuk memenangi anugerah Sarung Tangan Emas selepas penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma dibolosi ketika bertemu Sepanyol dalam satu lagi aksi separuh akhir. – Agensi

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top