EURO: Itali mara kepada pusingan 16 terbaik

EURO: Itali mara kepada pusingan 16 terbaik

ROM: Itali menjadi pasukan pertama mara ke kelompok 16 terakhir Euro 2020 selepas Manuel Locatelli meledak dua gol dan Ciro Immobile menambah jaringan dalam kemenangan 3-0 ke atas Switzerland di Rom, sebentar tadi.

Skuad kendalian Roberto Mancini mengumpul enam mata selepas dua perlawanan dan akan mara sebagai juara Kumpulan A sekiranya mereka mengelak kekalahan di tangan Wales yang menghuni tangga kedua pada aksi di Stadio Olimpico Ahad ini.

Kapten Itali Giorgio Chiellini terpaksa dikeluarkan pada babak pertama selepas cedera di bahagian paha, empat minit selepas jaringannya pada minit ke-20 dibatalkan pengadil kerana terkena tangan.

Pertahanan berusia 36 tahun itu meminta dikeluarkan dan tempatnya digantikan Francesco Acerbi dengan lilitan kapten diberikan kepada rakan sepasukan Juventus, Leonardo Bonucci.

Chiellini menjadi pemain Itali paling banyak penampilan di Kejuaraan Eropah pada 14 penampilan.

Skuad Azzurri menamatkan babak pertama dengan jaringan minit ke-26 Locatelli hasil umpanan rakan sepasukan, Sassuolo Domenico Berardi.

Di babak kedua, Locatelli menambah jaringan pada minit ke-52, sebelum Immobile melengkapkan kemenangan dengan rembatan padu pada minit terakhir permainan. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top