MUNICH: Thomas Mueller berkata keyakinan kembali memuncak dalam kem Jerman selepas kempen Euro 2020 mereka berada semula di landasan tepat dengan kemenangan 4-2 ke atas juara bertahan, Portugal.
“Kami berhak untuk merasa sedikit teruja. Memang seronok bermain dalam suasana begini,” katanya selepas Jerman melonjak ke tangga kedua Kumpulan F, menyamai kutipan mata Portugal dan satu mata di belakang pendahulu, Perancis.
Bek kiri Jerman, Robin Gosens dinobatkan pemain terbaik perlawanan, yang menanduk masuk gol keempat pasukannya dan melakukan dua umpanan gol.
“Ia sungguh luar biasa, petang yang sukar dipercayai buat saya. Ia perlawanan yang penting buat kami. Kami memberikan segalanya untuk perlawanan ini. Tekanannya cukup tinggi. Jika kami tidak mengutip tiga mata, ceritanya pasti berbeza,” kata Gosens.
Cristiano Ronaldo meletakkan Portugal di depan, tetapi Jerman bangkit dengan empat gol menerusi Kai Havertz dan Gosens serta dua gol sendiri Ruben Dias dan Raphael Guerreiro.
Diogo Jota merapatkan jurang untuk Portugal hasil umpanan cantik Ronaldo, tetapi Jerman bertahan dengan kelebihan dua gol untuk bangkit dengan kemenangan selepas kekalahan di tangan Perancis pada aksi pertama.
Jerman akan mengesahkan tempat di pusingan kalah mati sekiranya mengelak kekalahan pada aksi terakhir kumpulan bertemu Hungary di Allianz Arena Rabu ini.
Kecederaan Mats Hummels (lutut), Ilkay Gundogan (betis) dan Gosens (pangkal paha) menimbulkan kerisauan kem Jerman kendalian Joachim Loew.
“Hungary adalah lawan sukar yang tidak boleh dipandang rendah, benteng mereka amat kuat. Ia bakal menjadi satu lagi perlawanan sukar,” kata Havertz.
– AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




