SEVILLE: Pertahanan Itali Francesco Acerbi mendakwa Romelu Lukaku lebih sukar dikawal berbanding Cristiano Ronaldo.
Bek tengah Lazio itu, yang berpengalaman menentang kedua-dua pemain berkenaan di Serie A, akan berdepan salah seorang bintang itu di suku akhir Euro 2020.
Itali mara ke suku akhir selepas menewaskan Austria 2-1 dalam masa tambahan, dan akan berdepan sama ada Belgium yang diterajui Lukaku atau Portugal dibintang Ronaldo. Belgium dan Portugal akan bertembung pagi ini.
“Mungkin Lukaku. Kerana dia pemain yang lengkap, sama seperti Cristiano Ronaldo yang sering menjaringkan gol.
“Sebagai penyerang utama, Lukaku lebih sukar dikawal kerana dia mempunyai fizikal lebih besar dan kuat, lebih kepada penyerang.
“Cristiano Ronaldo adalah penyerang klasik, tetapi lebih mudah dikawal berbanding Lukaku,” kata Acerbi ketika ditanya siapa lebih sukar dikawal antara Lukaku dan Ronaldo.
Lukaku dan Ronaldo antara calon utama merebut Kasut Emas di Euro 2020.
Ronaldo mendahului dengan lima gol manakala Lukaku salah seorang daripada lima pemain yang menjaringkan tiga gol setakat ini. – AGENSI
© New Straits Times Press (M) Bhd