EURO: Morata terima ugutan mahu bunuh anak

EURO: Morata terima ugutan mahu bunuh anak

MADRID: Alvaro Morata, berkata isteri dan anaknya diganggu ketika kempen Euro 2020 disebabkan prestasinya bersama Sepanyol.

Morata bergelut dengan prestasi tidak menentu sepanjang kempen kali ini apabila terlepas beberapa peluang termasuk penalti ketika aksi terakhir Kumpulan E menentang Slovakia di Seville.

“Saya faham jika dikritik kerana tidak menjaringkan gol. Saya yang pertama akan tahu dan menerimanya,” kata Morata.

“Namun, saya harap orang ramai meletakkan diri mereka di tempat di mana mereka melihat ugutan dan penghinaan berlaku kepada keluarga mereka.

“Orang berkata ‘saya harap anak anda mati’. Saya tidak mahu melihat telefon saya.

“Anak saya pergi ke Seville dengan nama bapa mereka pada jersi. Saya faham kritikan kerana tidak melaksanakan tugas dengan baik tetapi ada hadnya.”

Morata berkata, dia tidak dapat tidur selama sembilan jam selepas seri 1-1 dengan Poland yang mana dia terlepas peluang selepas menjaringkan gol pembukaan Sepanyol.

Pemain berusia 28 tahun itu kemudian terpaksa akur apabila gagal menyempurnakan penalti ketika berdepan Slovakia sebelum Sepanyol melakar kemenangan 5-0.

Sepanyol akan bertemu Croatia dalam pusingan 16 terbaik awal pagi Selasa ini. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top