lizamridzuan@hmetro.com.my
Dominasi Proton e.MAS 5 sebagai kenderaan elektrik (EV) paling laris di Malaysia kini terbukti menerusi rekod jualan luar biasa mencecah lebih 5,000 unit dalam tempoh dua bulan pertama 2026. Pencapaian ini secara drastik meletakkan e.MAS 5 sebagai EV nombor satu dalam pasaran tempatan, sekali gus memintas pesaing global yang lain. Secara keseluruhan, 1 daripada setiap 2 EV yang dijual pada 2026 ialah model Proton e.MAS, menjadikannya jenama EV nombor satu di negara ini.
Kejayaan ini mencerminkan tahap kepercayaan tinggi pengguna terhadap ekosistem komprehensif yang dibina oleh PRO-NET. Faktor penentu seperti rangkaian sokongan selepas jualan yang kukuh serta akses pengecasan yang luas telah mewujudkan satu standard baharu yang sukar ditandingi oleh jenama pesaing, memberikan ketenangan minda sepenuhnya kepada pemilik.
Fenomena ini bukan sekadar trend bermusim, sebaliknya merupakan isyarat jelas bahawa kombinasi reka bentuk kompak, fungsi praktikal, dan harga yang kompetitif mampu memecahkan dominasi pasaran EV premium. Kehadiran e.MAS 5 bukan sahaja menawarkan alternatif, malah menjadi pemangkin utama dalam mempercepatkan transisi pengguna kali pertama ke arah mobiliti elektrik yang lebih mampan di Malaysia.
Penawaran harga bermula RM56,800 (Prime) dan RM69,800 (Premium), e.MAS 5 menawarkan spesifikasi yang lazimnya hanya ditemui pada model bernilai RM100,000 ke atas.
Melengkapkan lagi nilai pemilikan ini, tawaran rebat RM500 tersedia untuk setiap pembelian sehingga 23 Mac ini, satu peluang bagi rakyat Malaysia memulakan transisi ke arah kenderaan mesra alam.
Ia memberikan pemilik nilai tambah yang ketara dalam aspek reka bentuk, keselamatan dan teknologi, selari dengan permintaan keluarga moden yang menitikberatkan kualiti hidup, kewangan berhemah dan kemudahan harian.
Penerimaan positif model ini diakui pemilik antaranya Sharifah Nurathila Kartika Sari, 37, yang sudah menggunakan e.MAS 5 varian Premium selama tiga bulan.
Beliau memilih model ini kerana tertarik dengan reka bentuk moden serta saiz kenderaan yang dianggap sangat ideal menjadikannya sangat sesuai buat golongan wanita sepertinya.
“Pengalaman pemanduannya setakat ini memuaskan dan hampir sama guna kereta enjin pembakaran dalam (ICE) dan dengan jarak perjalanan harian ke pejabat sekitar 30 kilometer (km), saya hanya perlu cas kendaraan setiap empat hari sekali, bergantung kepada gaya pemanduan.
“Walaupun tiada pengecas di rumah, pemilikan EV tetap praktikal dengan memanfaatkan rangkaian pengecasan awam dan saya kerap guna pengecas pantas (DC) yang hanya ambil masa 30 minit untuk pengecasan dari 20% sehingga 100% dengan kos RM45. Selain faktor kos, saya hargai kualiti pemanduan lancar, sistem pendingin hawa yang sejuk, serta ruang dalaman yang praktikal dan selesa, terutama apabila membawa penumpang warga tua,” katanya.
Dari aspek prestasi, Proton e.MAS 5 dibina berasaskan platform GMA (Global Modular Architecture) yang memberi keseimbangan antara kuasa dan kecekapan. Ia dijana motor elektrik tunggal pada gandar hadapan yang mampu menghasilkan kuasa mencecah 116 PS (85 kW) dan tork setinggi 150 Nm.
Prestasi ini membolehkan pemanduan responsif terutama dalam situasi trafik bandar. Bagi sistem storan tenaga, model ini menggunakan bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) daripada pembekal utama dunia, CATL.
Varian Prime dilengkapi bateri berkapasiti 30.12 kWj menawarkan jarak gerak sehingga 225 km (WLTP manakala varian Premium hadir dengan kapasiti lebih besar iaitu 40.16 kWj yang mampu mencapai jarak gerak sehingga 325 km (WLTP) dengan sekali cas penuh.
Menyentuh reka bentuk luaran, Proton e.MAS 5 tampil dengan konsep moden dan minimalis, memberikan imej kenderaan masa hadapan dengan identiti elektriknya jelas melalui rekaan hadapan tertutup sepenuhnya tanpa gril tradisional, diapit unit lampu LED tajam untuk pencahayaan lebih efisien.
Garisan badan yang kemas dan aerodinamik bukan sahaja bertujuan estetika, malah berfungsi mengurangkan rintangan angin bagi mengoptimumkan kecekapan bateri sepanjang pemanduan.
Selain itu, saiznya yang kompak menjadikannya sebuah jentera yang sangat lincah untuk mencelah di dalam kesesakan kota dan mudah untuk diletakkan di ruang parkir yang sempit.
Walaupun kelihatan ringkas, perincian seperti pemegang pintu jenis flush yang rata dengan badan kereta serta rekaan rim aloi unik memberi sentuhan premium yang jarang ditemui pada kenderaan dalam julat harga ini.
Secara keseluruhannya, penampilan e.MAS 5 berjaya mengimbangi elemen gaya dan praktikaliti, sekali gus menarik minat pelbagai lapisan pengguna, terutamanya mereka yang mementingkan imej urban yang kontemporari.
Walaupun bersaiz kompak, ruang kabin e.MAS 5 menawarkan keluasan mengagumkan dengan jarak roda 2,650mm, setanding dengan model dalam segmen-C. Suasana premium jelas terasa melalui papan pemuka minimalis dipadankan dengan stereng dwi-tona, tuil gear kristal, serta kemasan tempat duduk kulit yang mewah. Dengan ruang kaki dan kepala yang lapang, setiap perjalanan dijanjikan keselesaan tahap tertinggi buat pemandu dan penumpang.
Ciri praktikaliti menjadi kekuatan utama model ini melalui sudut bukaan pintu belakang luas, sekali gus memudahkan urusan ibu bapa memasang tempat duduk bayi atau menguruskan muatan harian.
Aspek storan direka dengan sangat teliti melalui penyediaan 32 ruang simpanan pelbagai guna yang amat dihargai, khususnya bagi golongan wanita untuk menyimpan beg tangan dan barang peribadi.
Dari segi kargo, e.MAS 5 menyediakan frunk (but depan) sebesar 70 liter serta ruang but belakang 375 liter boleh dikembangkan hingga 1,320 liter, memberi fleksibiliti untuk gaya hidup aktif.
Ia juga dengan skrin infotainmen 14.6 inci FHD yang dilengkapi Apple CarPlay, Android Auto, serta sistem pesanan suara dwibahasa melalui ATLAS Auto OS. Integrasi aplikasi Proton e.MAS turut membolehkan pemilik memantau status kereta dari jauh, termasuk fungsi pra-penyejukan kabin yang sangat relevan dengan iklim panas di Malaysia.
Dari aspek keselamatan, e.MAS 5 dilengkapi enam beg keselamatan udara dan 12 ciri Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) seperti Kawalan Pelayaran Adaptif (ACC) dan Pengesan Titik Buta (BSD). Kehadiran kamera 360 darjah dengan paparan 3D memberi keyakinan penuh, sama ada kepada pemandu baharu mahupun yang berpengalaman.
Faktor ekonomi dan penjimatan jangka panjang menjadi pemacu utama mengapa e.MAS 5 begitu pantas memenangi hati pengguna. Berdasarkan analisis perbandingan kos pemilikan selama 10 tahun, pemilik e.MAS 5 berpotensi untuk menikmati penjimatan kumulatif sehingga RM29,796.60 berbanding kenderaan hatchback enjin pembakaran dalaman (ICE) dalam segmen yang sama. Angka ini memberikan isyarat jelas bahawa peralihan ke arah elektrik bukan sekadar pilihan gaya hidup, malah satu keputusan kewangan yang bijak bagi jangka masa panjang.
Jurang penjimatan paling ketara dapat dilihat dalam aspek kos tenaga. Dengan memanfaatkan tarif elektrik luar waktu puncak (Off-Peak) sebanyak RM0.4183/kWj, kos pengecasan e.MAS 5 bagi perbatuan 2,000km sebulan dianggarkan hanya RM12,448.80 untuk 10 tahun.
Jumlah ini jauh lebih rendah berbanding kos bahan api kereta petrol yang mencecah RM38,208.00 (berdasarkan mekanisme Budi95), sekali gus menyumbang penjimatan purata sekitar RM2,575.92 setiap tahun bagi.
Selain kos tenaga, aspek penyelenggaraan rendah meringankan beban kewangan pemilik disebabkan struktur mekanikal EV lebih ringkas, e.MAS 5 hanya memerlukan servis berkala sekali setahun atau setiap 20,000km, berbanding kereta petrol yang lazimnya memerlukan servis dua kali setahun atau setiap 10,000km.
Secara purata, kos penyelenggaraan e.MAS 5 sepanjang 10 tahun dianggarkan hanya sekitar RM2,700, jauh lebih jimat berbanding kos penyelenggaraan hatchback petrol segmen serupa yang mencecah RM6,737.40.
Secara keseluruhannya, Proton e.MAS 5 bukan sekadar EV mampu milik, malah penyelesaian mobiliti pintar yang memenuhi keperluan keluarga moden Malaysia. Melalui sokongan ekosistem komprehensif daripada PRO-NET, pemilikan EV kini lebih meyakinkan dengan jaminan keselamatan, teknologi termaju, dan penjimatan kos yang nyata.
© New Straits Times Press (M) Bhd




