Brussels: Jaguh lumba basikal Belgium dan pemenang pingat emas Olimpik, Remco Evenepoel akan meninggalkan pasukan Soudal Quick-Step dan menyertai Red Bull–Bora–Hansgrohe pada penghujung musim 2025.
Perkara itu disahkan pasukannya menerusi satu kenyataan, sekali gus menamatkan spekulasi masa depan pelumba berusia 25 tahun itu yang masih mempunyai kontrak sehingga akhir 2026.
Evenepoel, juara Vuelta a Espana 2022 dan pemenang emas acara lebuh raya serta ujian masa di Sukan Olimpik Paris 2024, menyertai Soudal Quick-Step pada 2019 dan menjadi antara aset paling berharga pasukan itu.
“Wakil Remco memaklumkan kepada pihak pengurusan bahawa beliau tidak berminat untuk membincangkan lanjutan kontrak semasa,” kata Soudal Quick-Step dalam kenyataan rasmi.
“Pemilik dan pengurusan pasukan berpandangan adalah lebih baik untuk kedua-dua pihak bersetuju agar Remco meninggalkan pasukan pada akhir musim 2025.”
Pada Disember lalu, Evenepoel terbabit dalam kemalangan ketika menjalani latihan di Belgium selepas melanggar pintu kereta yang terbuka secara tiba-tiba.
Insiden itu menyebabkan dia mengalami pelbagai kecederaan serius termasuk tulang selangka terkehel, beberapa tulang patah dan lebam di kedua-dua paru-paru.
Dia terpaksa menjalani pembedahan dan mengakui pernah memikirkan untuk bersara, namun berjaya kembali ke perlumbaan pada April lalu.
Evenepoel berada di kedudukan ketiga keseluruhan ketika menarik diri daripada saingan Tour de France pada peringkat ke-14, bulan lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd