Everest sasaranku

Everest sasaranku

asmaini@mediaprima.com.my

Jika wanita seusia dengannya sudah mula memperlahankan rentak kehidupan, Kartina Abdul Ghani, 53, sebaliknya terus mengorak langkah terbang lebih tinggi.

Misinya hanya satu iaitu menjejakkan kaki di puncak Everest pada 2026 bagi membuktikan usia atau jantina bukan penghalang untuk seseorang itu meraih impian.

Ketika artikel ini ditulis, ibu tunggal kepada lima cahaya mata lelaki itu dalam misi mendaki Gunung Kinabalu sebanyak sembilan kali sehingga 9 November ini.

Ia sebagai persediaan Kartina sebelum meneruskan misi latihan antarabangsa lain di Poland dan Everest Base Camp, tahun hadapan.

Walaupun berhadapan dengan kelajuan angin, cuaca sejuk ekstrem dan kesukaran sambungan internet, Kartina tiba juga di puncak.

Pengasas yang juga tenaga pengajar aplikasi mudah alih di Akademi Apps Master Builder (Akademi AMB) itu memulakan pendakian pertamanya 15 Oktober lalu.

Kartina berkata, mungkin ada yang menganggap semua itu kerja gila kerana disebabkan dia seorang wanita selain faktor usianya.

Namun dia berazam membuktikan semua itu bukanlah halangan jika seseorang itu memiliki keazaman dan ‘mind set’ yang betul.

Ini kerana kata Kartina, wanita sememangnya memiliki kelebihan tersendiri berbanding lelaki.

“Mungkin jika dibandingkan dengan kekuatan fizikal contohnya, wanita sukar untuk mengatasi lelaki.

“Tetapi dari segi keazaman diri dan ketabahan dalam menghadapi apa juga cabaran, wanita tidak akan kalah.

“Misi ini bukan untuk mencari nama sebaliknya mahu ia dijadikan sebagai inspirasi kepada wanita bahawa kita semua boleh menggapai impian hidup masing-masing jika mempunyai ‘mind set’ yang betul,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Kartina lagi, dia bersyukur lima anaknya juga memberi sokongan penuh kepada misi berkenaan.

Kata Kartina, meskipun ada yang menyuarakan kebimbangan terutama mengenai soal keselamatan, namun dia memberi mereka keyakinan bahawa apa yang dilakukannya itu adalah mengikut cara yang betul.

“Saya yakinkan anak-anak bahawa apa yang dilakukan ini adalah dengan persediaan yang secukupnya.

“Selain itu, saya juga tidak keseorangan kerana ada ahli kumpulan yang lengkap untuk membantu dan memberi sokongan yang diperlukan bagi menjayakan misi ini. Alhamdulillah mereka dapat memahami,” katanya yang turut berdepan cuaca buruk ketika berada di puncak Kinabalu, baru-baru ini.

Dalam pada itu, bagi memberi kelainan kepada misi berkenaan, Kartina mencipta sejarah apabila berjaya menerbitkan aplikasi mudah alih dari atas puncak puncak Gunung Kinabalu setinggi 4,095 meter.

Setakat Rabu lalu, Kartina berjaya menerbitkan enam aplikasi iaitu Ensiklopedia Hidupan Liar Sabah; Kalendar Perayaan dan Festival Sabah; Melawat dan Melancong ke Sabah; Ucapan Salam dan Latar Telefon Sabah; Makanan Sabah serta Pergunungan Sabah yang diterbitkan terus ke Google Play Store dan Apple App Store.

Sasaran Kartina menerbitkan keseluruhan sembilan aplikasi dalam ekspedisi berkenaan membabitkan Sabah dan Malaysia.

Mengulas mengenai aplikasi itu, Kartina berkata, dia menggunakan sistem pembina Apps Master Builder (AMB) yang tidak memerlukan pengetahuan mengenai koding ataupun pengaturcaraan komputer.

Katanya, sistem digunakan amat mudah di mana pengguna hanya perlu memilih ratusan ciri-ciri disediakan dalam sistem berkenaan.

“Pada mulanya saya bercadang menerbitkan satu aplikasi pada setiap pendakian namun sambungan internet di puncak kadang-kadang terganggu dan ada ketikanya, langsung tiada sambungan.

“Itu yang menyukarkan. Tambahan pula cuaca sejuk ekstrem juga membataskan untuk membuka komputer riba untuk saya menghantar aplikasi ke perkhidmatan pengedaran digital selain menyebabkan kuasa bateri cepat habis.

“Apapun, Insya-Allah jika diizinkan Allah, mungkin saya akan cuba pula untuk menerbitkan aplikasi mudah alih di bumbung dunia itu kelak,” katanya.

Sementara itu, Kartina mengakui, misinya menakluk puncak Kinabalu sebanyak sembilan kali tidak akan dapat dicapai tanpa kerjasama pihak Taman-Taman Sabah (TTS).

Katanya, bantuan malim gunung yang berpengalaman luas membantu melancarkan misi pendakian berkenaan.

“Malim gunung ini memang profesional, banyak membantu tanpa mengira dalam apa keadaan cuaca sekalipun.

“Tanpa kerjasama pihak TTS dan malim-malim gunung terbabit, misi ini akan sukar dicapai. Terima kasih diucapkan atas kerjasama yang diberikan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top