Liverpool: Rekod tanpa kalah Crystal Palace dalam 19 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) berakhir selepas tunduk 1-2 kepada Everton di Stadium Hill Dickinson, sebentar tadi dalam aksi yang penuh dengan kekecewaan buat skuad bimbingan Oliver Glasner.
Palace yang tampil dominan terutama pada babak pertama, mensia-siakan deretan peluang termasuk awal babak kedua sebelum hilang tenaga pada 30 minit terakhir perlawanan.
Everton yang lebih banyak bertahan sebelum itu, akhirnya mencuri kemenangan menerusi jaringan dramatik minit ke-93 oleh Jack Grealish yang juga gol sulungnya bersama kelab Merseyside itu sejak dipinjamkan dari Manchester City.
Kejayaan itu sekali gus menamatkan rekod kebal Palace yang kali terakhir tewas pada April lalu, sementara mengekalkan dominasi Everton dalam rekod pertemuan, dengan pasukan London itu hanya menang sekali daripada 22 pertemuan terakhir liga sejak 2011.
“Memang mengecewakan. Untuk 60, 70 minit kami bermain sangat baik, tahap persembahan yang tinggi.
“Ia memang menyakitkan, tapi mungkin kami perlukan kekecewaan ini untuk melangkah ke depan. Apa yang masih kurang untuk kami bersaing di tahap tertinggi adalah ketajaman di depan gol,” kata Glasner kepada Sky Sports.
Bagi Grealish, jaringan lewat itu bukan sahaja melegakan penyokong The Toffees, malah menguatkan lagi desakan agar namanya kembali dipanggil ke skuad kebangsaan England kendalian Thomas Tuchel.
“Perasaan menjaringkan gol di sini memang sesuatu yang indah. Saya sudah ada satu gol dan empat bantuan gol sekarang.
“Saya selalu bayangkan dapat gol lewat di tempat ini, dan akhirnya ia menjadi kenyataan. Jaringan itu saya hadiahkan buat semua penyokong Everton yang menerima kehadiran saya di sini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




