mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tarikh 28 Januari ini dilihat menjadi penentuan sama ada akan berlakunya peralihan atau perubahan besar dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), termasuk kemungkinan peletakan jawatan Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) secara beramai-ramai.
Tarikh berkenaan menjadi tumpuan susulan satu perjumpaan atau mesyuarat khas dijangka berlangsung membabitkan semua barisan kepimpinan tertinggi badan induk bola sepak negara itu.
Menurut sumber, ketika ini masih terdapat beberapa EXCO yang berada dalam dilema sama ada mahu meletakkan jawatan atau sebaliknya.
“Rabu depan penentuan sama ada akan berlakunya peralihan atau angin dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) termasuklah membabitkan peletakkan jawatan EXCO secara beramai-ramai.
“Tarikh berkenaan kerana akan ada perjumpaan atau mesyuarat khas membabitkan semua barisan kepimpinan tertinggi badan induk bola sepak negara itu,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.
Bagaimanapun, sumber sama tidak menolak kemungkinan keputusan sebulat suara akan dicapai menjelang tarikh berkenaan dalam usaha untuk melakukan perubahan terhadap hala tuju pengurusan FAM.
Difahamkan, langkah berkenaan dilihat sebagai antara percaturan penting bagi memastikan pembaharuan dapat dilaksanakan dalam badan induk bola sepak negara itu.
Walaupun pelbagai spekulasi bertiup kencang ketika ini, FAM dilihat mengambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum tarikh berkenaan.
Arena Metro sebelum ini melaporkan, cadangan pengunduran secara kolektif EXCO FAM dikaitkan dengan usaha mengelakkan tindakan lebih drastik daripada pihak luar terhadap badan induk itu.
Sementara itu, Arena Metro ketika menghubungi Pemangku Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi berhubung perkembangan berkenaan, beliau enggan mengulas sebarang isu atau khabar angin berkaitan peletakan jawatan EXCO.
Menurutnya, semua pihak diminta menunggu mesyuarat atau perjumpaan akan datang bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kedudukan sebenar kepimpinan FAM.
© New Straits Times Press (M) Bhd




